Semasa itu, saya masih terpinga-pinga kerana tidak pasti lokasi sebenar hostel walaupun telah melihatnya menerusi Internet sebelum itu.

Bagi memudahkan kerja dan mengelakkan daripada membuang masa, saya membuat keputusan untuk menaiki teksi. Tambahan pula keadaan gelap-gelita.

Bagaimanapun dalam hati saya tetap terdetik untuk berjalan kaki sahaja kerana pasti kedudukan hostel tidak begitu jauh ketika itu.

Beberapa minit kemudian, sebuah teksi tiba-tiba menghampiri stesen bas. Apa yang menghairankan, pemandunya memadamkan lampu yang tertera perkataan ‘teksi’ di atas bumbung sebaik sahaja menghampiri kawasan stesen bas.

Ketika itu, tanpa berfikir panjang, saya terus menahan teksi berkenaan. Mungkin penat atau sejuk, menyebabkan saya berbuat demikian. Pada masa yang sama, saya lihat pemandunya betul-betul memberhentikan teksi di hadapan saya.

“Hey! where are you going? Come on, I send you,”kata pemandu tersebut. Tiba-tiba saya terus teringat cerita ganas di televisyen. Dalam hati kecil, saya berharap tiada lagi apa-apa insiden buruk berlaku.

“Assalamualaikum, are you Muslim ?” kata pemandu itu dan saya terus menjawab ‘ya’. Perasaan panik dan ketakutan hilang serta merta kerana pasti pemandu ini sudah tentu bukanlah penjenayah.

Setelah bersetuju menaiki teksi tersebut, kami mula berbual dan dia terus berkata ‘we are brother,’ beberapa kali. Pada masa itu, bertambahlah keyakinan saya. “Yes selamat juga aku kali ni,” bisik hati saya.

Selepas beberapa minit perjalanan, kali ini saya lihat pemandu itu memadamkan meter teksi . Bila berdepan sahaja situasi ini, saya percaya lelaki ini serta merta akan bertukar status dan bukan lagi ‘brother’ seperti yang selalu disebut sewaktu mula-mula menjemput saya.

Ini juga bermakna peluang saya ditipu bertambah cerah atau besar kemungkinan lelaki yang memandu teksi itu juga merupakan penjenayah.

Saya juga sudah membayangkan apa yang berlaku seterusnya dan yang pasti pemandu ini cuba menipu. Maklumlah pelancong luar. Semasa itu, hati kecil saya berbisik:

“Habis aku kalau macam ni. Tak apa, you cheating me I cheating you. Never retreat never surrender,”

Akhirnya saya mendapat satu idea terbaik waktu itu. Disebabkan terdapat pelbagai kemungkinan, maka tanpa berfikir panjang saya keluarkan semua duit mata wang dolar dan tinggalkan hanya beberapa keping mata wang Bosnia.

Semua duit dan kad bank saya sorokkan di sebalik stoking. Sebaik tiba, jangkaan saya tepat. Pemandu tersebut mengenakan caj lebih mahal tanpa menggunakan meter.

Selepas puas bertengkar, akhirnya dia mengalah dan saya hanya membayar tambang mengikut persetujuan. Segalanya boleh berlaku dalam sekelip mata tanpa mengira latar belakang agama atau negara, semuanya sama sahaja.