* TAMAN DURIOTOURISM MARDI KUALA KANGSAR, PERAK

Destinasi ini sesuai untuk peminat tegar atau ‘hantu’ durian. Terletak di Kampung Talang Hulu, ladang ini merupakan tarikan baharu agropelancongan berasaskan durian pertama di negara ini.

“Dengan hanya bayaran sebanyak RM50 seorang, pengunjungi berpeluang merasai pelbagai jenis durian berkualiti tinggi termasuk durian hibrid pertama negara ini iaitu D24, D179, MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88.

“Pengunjung juga berpeluang melawat dan merasai pengalaman sebenar di ladang dengan menaiki tram selain menikmati raja buah itu secara segar terus dari ladang” demikian menurut Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta MARDI, Azman Mohd. Saad.

Buah-buahan lain seperti limau bali, manggis dan rambutan turut terdapat di ladang berkeluasan 40 hektar.

PUSAT PEMBANGUNAN KRAF TANGAN PERAK

Kuala Kangsar cukup terkenal dengan penghasilan produk kraf tangan labu sayong. Justeru, pusat kraf tangan yang terletak di Enggor ini menjadi salah satu destinasi yang sering menjadi persinggahan pengunjung.

Selain labu sayong, terdapat pelbagai barangan kraf tangan lain turut jadi pilihan seperti seramik, tembikar, mengkuang dan lain-lain cenderamata.

TAMAN AGROTEKNOLOGI MARDI CAMERON HIGHLANDS, PAHANG

Konsep taman dibangunkan berteraskan agropelancongan yang menyediakan dan mengekalkan suasana indah serta menarik.

Berperanan sebagai pusat inovasi penyelidikan yang berlatar belakangkan landskap dan bunga-bungaan melibatkan penggunaan serta pemindahan teknologi. Taman agroteknologi itu turut menjadi tempat untuk proses pembelajaran dan menimba pengetahuan.

“Pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktiviti termasuk mempelajari teknik serta teknologi yang dibangunkan oleh MARDI melalui penye­lidikannya yang dilakukan terhadap tanaman-tanaman tanah tinggi,” demikian menurut Pengurus Taman Agro­teknologi MARDI Cameron Highlands, Nordin Mad Ali.

Berkeluasan 12.03 hektar, di Tanah Rata, Cameron Highlands itu terdapat 28 taman yang boleh dilawati bermula dari taman bunga, rumah penginapan inggeris, ladang strawberi, ladang teh, kilang teh, petak fertigasi, pusat jualan dan cenderamata.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti pendakian, MARDI turut menyediakan dua trek pendakian ke Gunung Berembun.

LADANG BHARAT TEA

Ladang Bharat Tea merupakan ladang kedua terbesar di Cameron Highlands.

Lokasi ini sesuai untuk merakam gambar kenangan yang indah dan memukau. Setelah penat menyusuri ladang teh, pengunjung bolehlah singgah di cafe house yang menyediakan minuman teh keluaran Bharat Tea di samping pencuci mulut seperti kek, cream scones dan roti.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan pelbagai produk teh keluaran Bharat Tea seperti teh berperisa mango, strawberi dan lemon bolehlah berkunjung di kedai yang terletak bersebelahan cafe house.

KAMPUNG TAMAN SEDIA

Terletak di antara pekan Tanah Rata dan Brinchang, Kampung Taman Sedia merupakan salah sebuah perkampungan Melayu yang terdapat di Cameron Highlands.

Penduduknya yang majoriti kaum bumiputera itu mengusahakan ladang strawberi dan sayur. Memasuki kawasan perkampungan itu memberi pengalaman berbeza dari apa dirasai di Tanah Rata iaitu suasana perkampungan yang menyeronokkan. Di sini terdapat kemudahan chalet dan inap desa turut disediakan.

LADANG ANGGUR KC KWANG

Selalunya strawberi menjadi sebutan setiap kali berkunjung di Cameron Highlands. Namun, di sini juga terdapat ladang anggur milik KC Kwang & Son Sdn. Bhd.

Anggur yang ditanam adalah jenis kyoho iaitu salah satu baka buah terbaik berasal dari Jepun. Selain mempunyai saiz buah sedikit besar dari saiz biasa, anggur berwarna ungu gelap itu juga mempunyai kulit yang tebal dan bijinya boleh dimakan.

Menggabungkan rasa manis, masam dan pahit sememangnya menepati citarasa ramai pengunjung. Sekiranya pengunjung mahu merasai pengalaman memetik buah anggur dan membawanya pulang sebagai buah tangan boleh datang ke sini pada musim sekitar Mac atau September. Harganya serendah RM30 sekilogram bergantung kepada harga semasa.