Bentuknya agak kecil, melengkung serta terdapat banyak batu karang. Batu karang menjadi tumpuan spesies ikan marin kerana banyaknya plankton.

Dasarnya tidak dalam, sesuai sebagai pentas benua di Laut Sulawesi. Kedalaman sekitar 25 hingga 30 meter sesuai untuk aktiviti scuba diving.

Banyak hidupan eksotik seperti sotong kurita, cephalopods, udang geragau, ketam, rumpai laut terdapat di dasarnya sebagai khazanah alam.

Di kelilingnya terdapat banyak pulau belum diteroka, kekal belum terusik. Cantik bagai lukisan dengan lautan menawan dua warna biru dan hijau. Dari Pulau Mabul, pengunjung boleh menaiki bot ke pulau-pulau.

Bersama Yayasan Qaseh ZY Phyto, saya berpeluang melihat keindahan beberapa pulau sekitar Semporna dan Mabul sambil beramal. Kami menaiki bot meredah sekitar Mabul menyempurnakan misi tanggungjawab sosial kepada orang Bajau Laut.

Kunjungan ke enam pulau, Sibuan, Mataking, Timba-Timba, Usunggan, Tatangan dan Maiqa mendekatkan jiwa kami dengan keunikan penghuni pulau tersisih, yang selama ini kewujudan mereka kurang diberi perhatian.

Sungguh cantik hidupan laut di sini. Ada ahli rombongan mengambil kesempatan terjun ke laut menyelam dan menikmati keindahan dasar laut. Walaupun tidak menyelam dari atas bot saya menikmati keindahannya.

Sayangnya pulau ini kurang popular dan tidak diketahui ramai. Mungkin kurang promosi media arus perdana tentang pulau-pulau menarik dan hanya dipromosi melalui mulut ke mulut oleh mereka yang pernah ke sini.

Mungkin sebab tidak banyak kemudahan dan resort. Ada antara pulau-pulau ini sekadar kampung biasa dan bukan untuk dikomersialkan. Jadi, jangan harap resort mewah dan keselesaan jika bercadang ke sini. Yang pasti anda akan mendapat kepuasan jika berani meredah laut bergelora untuk menikmati keindahannya.

Lebih menarik jika anda singgah dan beramah mesra dengan ‘Gipsi Laut’ atau dikenali sebagai Bajau Laut yang menghuni pulau-pulau berkenaan.

Selain Mabul, Bohaydulong atau Pulau Bohidulong, jaraknya lebih kurang 30 minit, menaiki bot dari Semporna. Pulau Bohey Dulang ialah salah satu daripada lapan pulau dalam Tun Sakaran Marine Park.

Keindahannya tidak perlu ditulis, melalui gambaran boleh membayangkan suasananya hingga kadangkala macam tidak percaya sebab bagai lukisan.

Pulau Mataking antara yang tercantik. Air jernih, sesekali nampak kebiruan dan kelihatan ikan berkejaran. Sewa bot ke sini sangat mahal tetapi berbaloi.

Begitu juga Pulau Timba-Timba yang jarang dikenali. Pantainya sangat cantik. Airnya sangat jernih dengan tiga lapisan warna.

Hidupan lautnya lumayan, sotong, ular laut dan ikan jerung kecil. Penyu selalu ditemui di sini. Antaranya udang kara, ketam, gamat dan pelbagai karang laut.

Pulau Sibuan mempunyai penghuni etnik Bajau Laut. Pulau Sibuan tempat pilihan penyelam sebelum Pulau Sipadan.

Penghuninya sekitar 100 orang. Mereka hidup dengan sumber rezeki di laut dan tanaman di pulau selain ubi kayu diproses menjadi seperti bingka. Kami berpeluang bermesra dengan penghuninya sambil menghulurkan sumbangan.

Memang Sabah sangat kaya dengan keindahan pulaunya. Mungkin ramai tidak mengenali Bajau Laut di perairan Sabah tetapi kehidupan mereka sangat unik dan perlu didedahkan kerana mereka adalah khazanah sangat berharga.

Asal-usul mereka tidak jelas memandangkan kehidupan nomad, hidup di laut, terasing dan bergantung kepada hasil laut.

Dunia mereka hanya perahu dan kayak. Tetapi mereka hidup aman damai. Mereka dirikan rumah di lautan dan menjadikan bot, sebagai pengangkutan utama. Pada asasnya, kehidupan mereka sekitar lautan.Keistimewaan Bajau Laut, mereka boleh bernafas di dalam air sehingga lima minit tanpa sebarang peralatan. Kehidupan mereka seperti pejuang, setiap saat berjuang untuk kesinambungan hidup.

Kanak-kanak pula dengan dunia tersendiri, hanya lautan menjadi taman permainan. Mereka gembira mendayung perahu, berenang dan bermain manakala golongan tua memasak dan bersembang serta bergurau.

Walaupun hidup susah dan derita, mereka bertahan dan ini membuatkan hidup kaum Bajau Laut sangat menarik untuk dipelajari dan dapat memberi suntikan semangat kepada masyarakat normal.

Kehidupan mereka jauh ketinggalan zaman. Menentukan waktu hanya dengan kedudukan matahari.

Mereka ada bahasa sendiri. Anak-anak tidak bersekolah. Kehidupan mereka sangat luar biasa. Kebanyakan masa di laut. Daratan hanya persinggahan. Mereka tanpa warganegara. Hanya laut dan pulau menerima mereka!

Masa sekolah, saya hanya membaca kisah Bajau Laut ini, tetapi Allah makbulkan hajat melihat sendiri. Satu pengalaman indah tidak pernah saya mimpi menjadi kenyataan. Yang berhajat boleh hubungi Koyak Outdoor Team, pasti percutian anda menjadi kenangan terindah.