Mengimbas kembali detik permulaan hari pertama pada 11 Mei lalu, sebanyak 20 pacuan empat roda daripada pelbagai jenama seperti Mitsubishi, Isuzu dan Chevrolet tersusun megah seawal pukul 6 pagi, sementara menunggu untuk dipandu uji pelanggan setia Petron serta rakan-rakan media di perkarangan Ativo Plaza, Sri Damansara. Pandu uji itu adalah bagi menyahut cabaran Petron Fuel Happy Road Trip 2017.

Sebelum bertolak ke hentian pit pertama di stesen sebelah Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Selayang untuk acara pelepasan, peserta diberikan taklimat ringkas mengenai peraturan, tugasan serta cabaran yang perlu dipatuhi sepanjang kembara tersebut. Antara cabaran yang perlu ditempuhi adalah mengumpul lima kad soalan di setiap hentian.

Menurut Ketua Hal Ehwal Korporatnya, Zaimi Harun, peserta juga mesti memuat naik gambar dan video di Facebook serta Instagram untuk memenangi hadiah istimewa bernilai RM300. Pemilihan pemenang berdasarkan jumlah like terbanyak.

Mengulas lanjut, katanya, semua kenderaan telah dilengkapi dengan sistem penentu kedudukan global (GPS) dan peserta hanya perlu mengikut navigasi perjalanan yang ditetapkan seperti menyusuri laluan lebuh raya bermula dari hentian pit pertama di stesen sebelah MRR2, Selayang sehingga hentian kedua tol Sri Jaya.

“Peserta diberi tempoh dua jam untuk menguji kelancaran diesel yang dibekalkan bagi pemanduan dalam situasi biasa. Sepanjang perjalanan tersebut, suasana cerah tanpa hujan memudahkan peserta meneruskan perjalanan berpandukan GPS yang telah ditetapkan.

“Namun ada beberapa peserta tersilap memasuki simpang sehingga terpaksa berpatah balik ke laluan asal. Ada juga beberapa kenderaan mengalami sedikit kerosakan pada awal konvoi,” katanya.

Walau bagaimanapun, kembara yang diiringi empat marshal bermotosikal kuasa tinggi selamat tiba di hentian kedua sebelum masing-masing menarik nafas untuk bersedia memasuki trek laluan offroad yang bakal menguji kemahiran pemanduan mereka.

“Hentian kedua tol Sri Jaya merupakan permulaan fasa laluan ekstrem kerana semua peserta dikehendaki memandu dan menguji kemahiran pemanduan di trek laluan offroad yang disediakan sebelum tiba ke hentian pit ketiga di Hutan Lipur Jerangkang, Maran.

“Apa yang boleh saya katakan, konvoi kembara ini memberikan pengalaman yang cukup mengujakan kepada peserta kerana berpeluang merasai trek laluan offroad yang serba mencabar,” katanya.

Zaimi berkata, peluang sedemikian membolehkan pemandu menilai kelancaran perjalanan sewaktu merentasi laluan lebuh raya yang lurus, kawasan berbukit-bukau, berlumpur serta permukaan jalan yang tidak rata kerana pengalaman tersebut pasti berbeza jika dibandingkan dengan pemanduan yang menggunakan kereta jenis sedan untuk kegunaan harian.