Namun bukit yang tersergam setinggi hampir 330 meter yang sekian lama seakan asing dan tidak membawa makna apa meskipun menampung kepelbagaian flora dan fauna, menyediakan ruang kepada kelompok penggemar baharu termasuk bagi pencinta alam dan aktiviti lasak atau kecergasan bersama keluarga.

Keindahan panorama sisi hutan, tanaman, perkampungan dan laut yang jelas terpapar sayup di kejauhan mampu menjadikan lokasi yang agak terpencil ini sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri ini jika dibangunkan secara terancang dan terkawal.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan dalam usaha membangunkan destinasi itu dengan kegiatan riadah pendakian dan aktiviti luncur udara (paragliding).

“Bukit Maras kini dalam perhatian Pejabat Daerah Kuala Nerus untuk disenaraikan dalam produk pelancongan dan saya percaya keistimewaan yang dimiliki mampu menjadi pakej untuk mempromosikan budaya dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

“Alhamdulillah selepas kemasukan kumpulan Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (Tipco) ke sini bagi penganjuran sukan paragliding, ia semakin dikenali dan terbaharu menjadi pilihan para pendaki kerana pemandangan menarik Laut China Selatan,” katanya pemberita selepas Program Kabak (daki) Bukit Maras di sini baru-baru ini.

Program anjuran aktivis Bukit Maras yang diketuai oleh Anuar Ngah itu menghimpunkan hampir 200 pendaki termasuk dalam kalangan penggiat sukan lasak, pengamal media, pelajar dan penduduk kampung.

Dengan pendakian mudah ke puncak mengambil masa antara 30 minit hingga satu jam membabitkan jarak 1.6 kilometer dari kaki bukit berhampiran padang bola, pengunjung boleh turut menyusur beberapa gua dan dua anak sungai.

Menurut Hishamuddin, antara kemudahan yang akan dibina dalam masa terdekat ialsh pondok rehat dan tandas awam di laluan naik.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pembangunan hanya akan dilakukan mengikut keperluan bagi mengelakkan kerosakan kepada alam sekitar.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan lebih banyak penyertaan pertubuhan tempatan untuk menganjurkan aktiviti agar dapat turut membantu menarik pelancong. - UTUSAN ONLINE