Rahsia ini diberitahu oleh pemandu pelancong Bosnia, Danijela Mehic yang membawa kami melawat Piramid Matahari yang terletak kira-kira 30 kilometer ke utara Sarajevo.

Paling menarik, Danijela menceritakan sesiapa yang berpeluang memasuki terowong bawah tanah di dalam Piramid Matahari boleh merasai sendiri proses peremajaan semula atau ‘awet muda’.

Malah Danijela mendakwa usia seseorang boleh panjang jika tinggal lebih lama dalam terowong Piramid Matahari dalam tempoh tertentu.

“Sesiapa sahaja yang pernah memasuki dan berada di dalam terowong Piramid Matahari mengakui mereka berasa sangat tenang dan damai di sana,” cerita Danijela lagi.

Danijela seterusnya menyebut fakta beberapa kajian yang dijalankan di dalam terowong piramid itu menunjukkan bahawa tahap ionnya adalah 43 kali lebih tinggi dari luar Piramid Matahari. Ada kawasan tertentu dalam terowong menjadi ‘bilik awet muda’ dan boleh memberi kesan kepada jangka hayat manusia untuk hidup lebih lama.

Ahli Geologi Bosnia, Dr. Semir Osmanagich yang telah mengkaji Piramid Matahari pada tahun 2005 mendapati satu pancaran sejalur tenaga medan elektromagnet semula jadi dengan radius 4.5 meter pada frekuensi 28 kHz, serta dengan kekuatan sekitar 3.9 V telah dikesan di puncaknya.

“Medan elektromagnetik ini berjaya dikesan dan diukur oleh Dr. Semir datangnya dari bahagian atas puncak Piramid Matahari,” cerita Danijela lagi.

Pelancong diberi taklimat ringkas oleh dua orang petugas Merdin Mostarlic, 26, dan Ajdin Ahmet Spahic, 28, mengenai sejarah penemuan piramid ini pada tahun 2005. Kajian masih dilakukan bagi menentukan piramid ini bukan tercipta secara semula jadi tetapi merupakan satu bangunan kuno buatan manusia yang dipercayai telah berusia lebih 29,000 tahun. Pelancong dibenarkan masuk dengan syarat perlu memakai topi keselamatan sebelum dapat merasai sendiri pengalaman memasuki terowong bawah tanah yang berselirat di dalam Piramid Matahari. Ada lampu terpasang di sepanjang terowong sempit yang berselirat. Terowong ini sentiasa basah kerana ada aliran air meresap di dindingnya.

Para pelancong juga dibawa melawat satu blok seramik seberat 8,000 kilogram yang juga didakwa memberi kesan positif kepada ketenangan manusia yang berada di terowong bawah tanah di dalam Piramid Matahari. Setakat ini hanya Piramid Matahari di Gunung Visoko yang dibuka kepada pelancong seluruh dunia manakala Piramid Bulan, Piramid Naga, Piramid Bumi dan Piramid Cinta masih dalam kajian lanjut. Semasa di dalam terowong bawah tanah kami dimaklumkan pertalian erat antara Piramid Matahari dan Piramid Bulan dari segi astronomi.

“Saat senja berlabuh dan matahari mulai terbenam, bayangan Piramid Matahari akan berpindah ke dalam ngarai, lalu menutupi Piramid Bulan. Petanda ini jelas menunjukkan peranan matahari pada sebelah siang telah selesai. Maka bermulalah peranan bulan pula pada malam hari,” cerita Merdin Mostarlic pemandu pelancong di Gunung Visoko.

Merdin menceritakan fenomena astronomi ini hanya ditemukan pada Piramid Matahari dan Piramid Bulan di Bosnia. Namun begitu, keunikan itu tidak terdapat pada Piramid Naga, Piramid Bumi atau Piramid Cinta. Seorang pekerja yang terlibat menggali terowong di Piramid Matahari, Novokilet Salko, 64, yang lebih dikenali sebagai Bret Pitt menceritakan laluan bawah tanah itu memiliki kepanjangan puluhan kilometer dan terdiri daripada lorong-lorong, ruang dan danau buatan manusia.

“Jika hendak membandingkan struktur binaan dan teknik arkiteknya, ada kemungkinan arkitek dan juruteranya orang yang sama terlibat membina Piramid Giza di Mesir. Ada kemungkinan juga orang Bosnia meniru piramid di Mesir dan piramid ini dipercayai yang terakhir dibina oleh arkitek tersebut,” kata Bret Pitt.

Penemuan Piramid Matahari di Bosnia telah berjaya mengubah persepsi dan sejarah tentang pembinaan piramid yang selama ini tertumpu terhadap Mesir purba yang dipercayai dimonopoli kepakarannya oleh arkitek semasa pemerintahan raja-raja Firaun. Walaupun misteri dan kesahihan tentang piramid di Bosnia ini masih belum terjawab sepenuhnya tetapi pelancong dari seluruh dunia telah berduyun-duyun datang untuk melihat secara dekat kehebatannya.