Tokyo Marathon merupakan salah satu daripada 6 Abbott World Marathon Majors selain dari Berlin, London, Chicago, New York dan Boston. Pendaftaran tersebut bukanlah diterima secara automatik, ia bergantung kepada hasil undian yang akan diberitahu penganjur. Tuah menyebelahi saya, pendaftaran telah diterima. Maka bermulalah episod pengembaraan saya ke Tokyo pada hujung Februari lalu bersama isteri.

Petang yang dingin menyambut ketibaan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dari Kuala Lumpur. Waktu siang yang singkat mengehadkan perjalanan kami pada hari pertama, hanya sekadar melepaskan lelah di hotel yang terletak di Ikebukuro setelah mengharungi penerbangan hampir enam jam yang meletihkan.

Pada hari kedua, pengembaraan kami dimulakan dengan mengambil bib larian Tokyo Marathon 2017 di Tokyo Big Sight. Selepas mengambil bib, kami menuju ke Harajuku untuk menyusuri Takeshita Street yang terkenal dengan deretan cafe dan kedai fesyen terutamanya untuk golongan remaja. Sebelum kembali ke hotel, kami meneroka bandar Ikebukuro dengan lebih terperinci untuk mengetahui selok belok jalan agar pengembaraan pada hari-hari berikutnya lebih mudah dan lancar.

Pada hari ketiga, kami meneruskan langkah lebih jauh dengan cuba menjelajah Tokyo secara menyeluruh. Kami telah mendapatkan JR Tokunai Pass, pas perjalanan satu hari untuk memudahkan urusan pembayaran tambang kereta api.

Destinasi pertama kami ialah Tokyo Station yang merupakan stesen keretapi utama di sana. Terletak berdekatan adalah Imperial Palace, iaitu lokasi kediaman rasmi Maharaja Jepun.

Destinasi seterusnya adalah Akihabara, syurga membeli belah bagi peminat gajet-gajet elektronik. Setibanya di Ueno pula, kami ke Ameyoko Shopping Street untuk mencari cenderahati sebagai tanda kenangan kepada keluarga dan kenalan di Malaysia. Sebelum malam menjelma, kami singgah di Nippori Textile Town kerana si isteri sudah tidak sabar-sabar mahu mendapatkan kain ela Jepun.

Untuk menikmati pemandangan malam di Tokyo, kami memilih untuk ke kawasan Shinjuku, Shibuya dan Ginza. Di Shinjuku kami melawat kawasan Kabukicho, di mana terletaknya Godzilla Street. Di Shibuya pula, kami merasai sendiri pengalaman melintasi laluan pejalan kaki tersibuk di dunia, Shibuya Scramble Crossing. Manakala di Ginza, kami tidak melepaskan peluang untuk melawat mercu tanda terkenal di situ, Wako Clock Tower.

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Pada hari keempat saya menyertai larian di Tokyo Marathon 2017. Tepat jam 9.10 pagi, hampir 30 ribu orang peserta larian mula dilepaskan dalam keadaan cuaca yang agak sejuk, lebih kurang 10 darjah Celcius. Acara bermula di Tokyo Metropolitan Building, Shinjuku dan berakhir di Imperial Palace Garden.

Laluan larian tersebut meliputi tempat-tempat menarik di sekitar Tokyo sejauh 42.195 km. Alhamdulillah saya berjaya menamatkan larian dalam masa enam jam, di bawah had masa yang telah ditetapkan.

Untuk meraikan kejayaan saya menamatkan larian Tokyo Marathon 2017, kami ke Tokyo Disneyland pada hari terakhir di sana. Kami menghabiskan masa hampir sehari suntuk untuk menikmati tarikan-tarikan yang ada secara optimum, sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Tokyo merupakan sebuah kota metropolis yang sangat luas. Pengembaraan kali ini hanya meliputi sebahagian kecil darinya. Masih banyak lagi tempat menarik yang perlu kami diterokai di sana.

Jumpa lagi, Tokyo.