Diusahakan bersama arwah suami kira-kira sedekad lalu, kini tempat penginapan yang diberi nama ‘Mak Su Chalet’ di Kampung Pasir Panjang, di Pulau Tinggi, di sini berjaya menempa nama dalam industri pelancongan dengan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara.

AZIMAH MAIDIN
AZIMAH MAIDIN

Azimah, 62, yang lebih dikenali de­ngan panggilan Mak Su dan mempunyai tujuh anak kini boleh menarik nafas lega apabila chalet tersebut dikenali pelancong asing terutamanya yang datang dari Singapura.

“Pada peringkat awal iaitu pada tahun 2007, dengan ta­nah yang ada dengan modal seba­nyak RM80,000, kami bina lima bilik dan dua tahun lalu ditambah menjadi 11 bilik.

“Siapa sangka angan-angan arwah suami yang suka melihat orang datang memancing menginap di rumah kami, kini menjadi punca rezeki untuk kami sekeluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Dia yang kehilangan suami pada tahun lalu berkata, 11 bilik tersebut dilengkapi kemudahan bilik air, pendingin hawa dan ki­pas mampu menampung 40 orang pada satu-satu masa.

Bagi memudahkan pengunjung, pihaknya turut memiliki lima bot, iaitu tiga bot laju dan dua bot besar.

Mak Su mengakui, antara ke­lebihan yang ada di chaletnya kerana memiliki keindahan alam semula jadi yang asli termasuk pantai, batu karang serta keindahan hutan dan air terjun yang cantik di pulau itu.

“Antara aktiviti yang boleh disertai pengunjung termasuk memancing, mandi laut, snorkeling, merentas hutan, air terjun dan pada waktu malam boleh melepaskan anak penyu sambil menikmati hida­ngan barbeku di tepi pantai.

“Bagi memenuhi permintaan para pelancong, kami turut membawa mereka untuk aktiviti snorkeling di Pulau Lima, Pulau Mentigi dan Pulau Kukus yang terletak berhampiran serta kaya dengan pelbagai spesies hidupan marin,” katanya.

Pihaknya turut mengekalkan konsep tradisional, khususnya dalam penyediaan makanan dengan menggunakan bahan-bahan segar terutamanya ikan, sotong dan udang yang diperoleh daripada nelayan tempatan, selain menghidangkan ulam-ulaman kampung termasuk petai, pucuk ubi, pucuk kaduk dan jantung pisang.

Mak Su mengakui perniagaannya terus berkembang kera­na kedudukannya yang diapit oleh sebuah resort dan Jabatan Taman Laut Negara Cawangan Johor yang terletak di Pulau Tinggi.

Selain perkhidmatan di chaletnya, Mak Su turut menawarkan perkhidmatan untuk pelancong yang menginap di resort dan jabatan tersebut, iaitu menawarkan perkhidamatan bot bagi mengambil dan menghantar mereka dari Jeti Tanjung Leman ke Pulau Tinggi serta membawa mereka melakukan aktiviti sno­kerling, memancing, selaman skuba serta lawatan ke pulau-pulau berhampiran.

Bagi mengendalikan perniagaan itu, beliau kini mempunyai 10 pekerja termasuk tiga anak­nya yang mengendali bot, tukang masak, pengemas bilik serta pekerja sambilan untuk menyelenggara persekitaran chalet, katanya sambil me­ngakui antara cabaran yang dihadapi ialah kos pengangkutan dan harga bara­ngan yang lebih mahal berban­ding di tanah besar.

Mak Su memberitahu, cha­letnya menawarkan harga RM350 bagi setiap orang untuk pakej tiga hari dua malam meliputi pengangkutan bot ke pulau, makan dan minum empat kali sehari, bilik penginapan serta peralatan untuk snorkeling.