Walau apa pun kisah mereka berdua, ia satu usaha yang tidak boleh dipandang mudah seperti yang disangkakan dan bagaimana mudahnya nak bercerita. Cuma apa yang saya perhatikan, mereka betul-betul bekerja keras.

Sebelum saya bercerita lebih panjang, biar saya ‘sampaikan nasihat Abang Z dan Kak Mek’ kepada sesiapa yang ingin memulakan perniagaan. Katanya, walau di mana pun bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Yang penting istiqomah katanya.

Selain berjumpa dengan pasangan tersebut, saya berpeluang bertemu dengan Mohammad Koya atau mesra dipanggil Uncle Mad dan rakannya yang dikenali sebagai Daud atau Uncle Daud merupakan orang Melayu, berasal dari Singapura. Mereka menetap di Vancouver selama 30 tahun.

Kedua-duanya ramah dan baik. Malah hubungan kami ibarat seperti saudara-mara walaupun hanya kenal dalam masa beberapa hari sahaja.

Apa yang menarik, walaupun mereka telah lama menetap di sini, bahasa Melayu mereka sedikit pun tidak ‘luntur’.Malah, mereka juga tidak menggunakan bahasa ‘rojak’ sebagaimana yang kita lihat dalam masyarakat negara ini.

Bagi mereka, jati diri itu penting, sama pentingnya bahasa kerana melambangkan bangsa.

“Kalau jumpa orang Melayu, kita cakap Melayulah. Kita bangga tau..., bila guna bahasa sendiri di sini. Belajarlah banyak bahasa apa sekalipun, tapi bahasa kita tetap perlu dijaga. Ilmu itu penting dan setiap hari, kita kena belajar ” kata Uncle Mad.

Uncle Mad bekerja dalam sektor pembinaan manakala Uncle Daud pula pernah bekerja dalam sektor petroleum dan kini telah bersara. Mereka banyak bercerita pengalaman hidup di Singapura suatu ketika dahulu dan juga kehidupan di Kanada.

Di samping itu, saya sempat bertanya kepada mereka berdua berkenaan pengalaman hidup di sana. Apa yang saya fikirkan adakah kehidupan bergelar imigran benar-benar memberi keselesaan hidup dan tidak ada sebarang masalah atau cabaran?

Lalu, saya tanyakan soalan tersebut kerana ada rakan pernah merancang untuk tinggal di negara lain. Saya tidak pasti mengapa, tetapi rata-rata kononnya inginkan kehidupan yang lebih selesa.

“Jangan ingat yang cantik sahaja. Kalau kita rasa ada masalah di negara sendiri, di negara lain pun sama. Selain itu, ‘mat saleh’ pun ada diskriminasi dan bersikap double standard, walaupun bukan semua.

“Lagipun orang kita selalu sangat banggakan kehidupan mereka. Kita ada cara dan budaya sendiri. Itu yang patut dijaga, bukannya tiru semua benda.

“Yang baik kita ikutlah. Kenapa perkara buruk pun nak diikuti. Mereka akan pandang ‘semacam’ kalau kita nak ikut seperti ‘dia orang’,” kata Uncle Mad.

Saya masih ingat Uncle Mad selalu bercerita tentang apa yang orang Malaysia sepatutnya rasa bertuah dan bersyukur.

Selain itu, mereka turut bawa saya bertemu masyarakat Melayu Singapura di Kanada.