Sebelum ini, destinasi hujung minggu yang popular itu belum membangun sepenuhnya dan masih kekurangan kemudahan asas.

Selepas beberapa projek penambahbaikan dilaksanakan, antaranya meningkatkan kemudahan asas, pembinaan chalet dan kemudahan mandi-manda, Lubuk Timah sudah semakin dikenali ramai.

Kolam-kolam pelbagai saiz yang dibina memudahkan pengunjung berendam di dalam air panas.

Pengurus Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Fadil Akmar Yusoff berkata, kehadiran pengunjung meningkat sejak tiga tahun lalu atas pelbagai faktor.

Beliau berkata, kawasan itu yang terletak tujuh kilometer dari Simpang Pulai dekat sini mudah dikunjungi khususnya pelancong sama ada yang hendak ke Cameron Highlands atau sebaliknya.

Katanya, mereka akan singgah untuk beriadah bersama keluarga di Lubuk Timah.

“Paling ramai pengunjung yang datang ke pusat rekreasi ini adalah dari negeri-negeri sebelah utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Pelancong luar juga seperti dari Iran, Jepun dan Cina ramai yang datang ke sini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, pelancong luar mengakui pusat rekreasi itu mempunyai keistimewaan yang luar biasa kerana air panas di situ mempunyai khasiat untuk merawat kesihatan seperti penyakit kulit.

Selain itu, kawasan itu mempunyai kawasan sungai, air terjun dan suasana alam sekitar semula jadi yang mempersonakan.

Jelasnya, memandangkan sam­­butan pengunjung yang semakin bertambah, pihaknya bercadang menambah bilangan chalet daripada lapan sedia ada kepada 20 unit.

“Saya berharap kawasan rekreasi ini disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri dan yakin ini akan menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Selain berendam di kolam air panas, pusat rekresi itu juga terdapat kuda yang boleh ditunggang oleh kanak-kanak.

“Ini sudah tentunya memberikan pengalaman yang menarik kepada kanak-kanak,” katanya.

Lubuk Timah sesuai untuk dijadikan lokasi kem bina semangat, aktiviti jungle trekking dan aktiviti untuk pencinta alam semula jadi mengeluarkan peluh.