Destinasi berkenaan menawarkan pengalaman berbeza dan unik kerana menjadi lokasi percutian pertama di negara ini yang mempunyai 27,000 rumpun buluh merimbun, selain kira-kira 700 pokok nangka madu serta 200 pohon mangga yang boleh dinikmati pengunjung.

Pengurus Lanchang Edible Garden, Adnan Osman berkata, rimbunan buluh yang mengelilingi kawasan itu menjadikan kunjungan ke sana sebagai satu percutian yang berbeza.

“Di sini, pengunjung dapat menikmati kesegaran udara di bawah rimbunan buluh sambil menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Selain calet moden, kami juga menyediakan tujuh calet yang dibina daripada buluh bagi memberikan suasana berbeza kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Menurut Adnan, pihaknya turut menyediakan pakej perkhemahan di bawah rimbunan buluh bagi mereka yang meminati aktiviti seperti itu.

Katanya, antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah memancing ikan di kolam yang disediakan, di samping melihat proses dan merasai pengalaman membuat arang buluh yang digunakan bagi menghasilkan bahan pewangi.

“Bagi penggemar buah-buahan tempatan, mereka boleh menikmati buah nangka segar yang dipetik dari ladang. Pada musim buah-buahan, mereka boleh menikmati kemanisan buah mangga,” ujarnya.

Bagi mempelbagaikan aktiviti, pengurusan Lanchang Edible Garden turut menyediakan kenderaan khas bagi membawa pengunjung melalui kebun buah-buahan dan ladang sawit ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah yang terletak berhampiran.

Berkonsepkan santai, pengunjung bebas melakukan aktiviti riadah dengan penyediaan pelbagai kemudahan lain kepada pengunjung seperti karaoke.

Sementara itu, Adnan memberitahu, semua aktiviti disediakan dalam pakej dengan harga berpatutan di kawasan yang terletak hanya 12 kilometer dari Plaza Tol Lanchang.

Mereka yang berminat berkunjung ke Lanchang Edible Garden boleh menghubungi Adnan di talian 016-4935395 bagi mendapat penerangan lanjut mengenai pakej dengan tawaran harga berpatutan.