Berasa gayat melihat ke bawah dari tempat tinggi menjadi satu masalah yang sudah terbiasa dalam kalangan masyarakat seluruh dunia.

Skytrex Melaka yang terletak di Taman Botanikal Ayer Keroh memberi peluang kepada mereka yang berasa takut berada di tempat tinggi menghilangkan perasaan itu.

Ini kerana mereka perlu berdiri di tempat setinggi kira-kira 22 meter dari paras laut bagi menjalani aktiviti tersebut.

Menurut Pengurus Skytrex Melaka, Mohd. Ibtisam Jamil, mereka menyediakan platform kepada pengunjung untuk melakukan aktiviti di dalam hutan, selain memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menghargai alam sekitar.

“Antara aktiviti sihat dan mencabar yang terdapat di sini aktiviti bertali aras tinggi memerlukan peserta bergerak dari satu tempat ke platform seterusnya.

“Dalam masa sama, mereka yang berada di tempat tinggi juga berpeluang melihat keindahan alam sekitar,” katanya.

Bukan itu sahaja, malah pengunjung yang berjalan di sekitar tapak Skytrex Melaka juga dapat menambah pengetahuan kerana terdapat tanda maklumat di setiap tumbuhan di situ.

Tambah Mohd. Ibtisam, terdapat beberapa jenis haiwan di kawasan itu memeriahkan lagi suasana ketika pengunjung berdepan dengan cabaran yang dilalui.

“Di kawasan ini terdapat monyet, burung dan tupai hitam yang jarang ditemui di kawasan lain. Jika bernasib baik, kita dapat melihat haiwan itu keluar dari tempat tinggal mereka.

“Sungguhpun begitu, pengunjung dinasihat untuk tidak memberi sebarang makanan kerana bimbang sekiranya mengganggu pengunjung lain,” ujarnya.

Dengan keluasan tapak kira-kira 40 hektar, Skytrex Melaka menyediakan tiga tahap cabaran kepada orang ramai iaitu Little Dino (mudah), Pahlawan Thrill (pertengahan) dan Extreme Warrior (sukar).

Little Dino mengenakan bayaran sebanyak RM50 seorang. Syaratnya adalah pengunjung mestilah sekurang-kurangnya berketinggian minimum 110 sentimeter (cm) dengan berat badan maksimum, 100 kilogram (kg).

Terdapat 15 halangan yang perlu dilalui bagi kategori tersebut dan antara yang menarik adalah flying fox serta rolling barrel.

Untuk Pahlawan Thrill pula, ketinggian minimum individu mestilah 150cm dengan berat maksimum 100kg dan bayaran yang dikenakan adalah RM60 seorang serta disajikan dengan 25 jenis halangan dengan Tarzan Swing dan U Rope menjadi tarikan kepada pengunjung.

Paling menarik, kategori Extreme Warrior yang memerlukan kelayakan sama dengan Pahlawan Thrill dan menyediakan 35 halangan kepada pengunjung. Dengan bayaran RM70 seorang, mereka boleh mencuba cabaran Sky Bike yang merupakan satu-satunya cabaran sebegitu di negara setakat ini, selain The UFO.

Skytrex Melaka dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang (sesi terakhir pukul 3 petang). Setiap sesi hanya membolehkan 20 hingga 25 orang sahaja terlibat bagi setiap kategori.

Mereka yang berminat disarankan membuat tempahan menerusi dalam talian di laman sesawang www.skytrex-adventure.com dan bakal mendapat diskaun RM5 untuk setiap kategori.