Sebuah kota yang lebih dikenali dengan kota budaya, politik dan kota warisan yang menarik perhatian ramai pelancong. Dengan nilai mata wang yang rendah, keinginan untuk membawa anak-anak melancong ke Beijing menjadi pilihan penulis kerana bajet yang berpatutan.

Mengambil kesempatan cuti sekolah pada 19 Mac 2018, penulis memilih Beijing sebagai destinasi. Dengan penerbangan AirAsiaX, kami berlima berlepas ke Beijing pada 7 malam. Selama enam jam dalam penerbangan, anak-anak terlena dibuai mimpi. Ketibaan kami disambut dengan kedinginan malam dengan suhu tiga darjah celcius. Miss Sue sedia menunggu untuk membawa kami ke hotel penginapan.

Selesai sarapan, Miss Sue bersedia dengan lawatan pertama untuk melihat panorama kota Beijing. Anak-anak begitu teruja dapat melihat sendiri sebuah kota agung yang penuh bersejarah cukup mempesonakan. Bagi penulis, terasa amat bersyukur kerana kedatangan kali kedua bersama anak-anak.

Forbidden City

Lebih dikenali dengan kota terlarang banyak menyimpan misteri kehidupan penghuninya. Daya tarikan yang mempunyai lokasi terlalu luas. Istana rasmi bagi Maharaja China. Muzium ini menjadi monumen sejarah penting untuk istiadat dan politik kerajaan China selama 500 tahun.

Istana larangan ini merupakan jantung kota Beijing dengan keluasan 72 hektar dan mempunyai sembilan buah istana. Terdapat 9,999 buah kamar di kawasan kota terlarang ini. Ia struktur kayu yang tersenarai sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Anak-anak asyik merakam setiap sudut keunikan yang terdapat di istana ini.

Dengan cuaca sejuk dan nyaman, tidak terasa hari sudah beransur petang. Kami singgah ke Tea House, sekali lagi kami terpegun dengan kelembutan budaya masyarakat China menyediakan teh. Terasa hilang kepenatan bila dapat merasai nikmat teh maharaja yang begitu mahal harganya. Seterusnya, Miss Sue membawa kami untuk makan malam dan kemudian pulang ke hotel untuk berehat.

Seawal pagi kami melalui lebuh raya dengan kesesakan lalu lintas teruk untuk lawatan ke Jade Museum. Masyarakat China sangat mencintai batu ini, bukan kerana keindahannya tetapi lebih penting budayanya.

Menurut kepercayaan mereka, Jade menyimpan 11 kebajikan di dalamnya, ia diukir begitu halus dan berseni. Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Tembok Besar China, dalam kesejukan cuaca yang berkabus seawal pukul 11 pagi, kawasan ini telah dipenuhi ribuan pengunjung.

Panorama luar biasa bagi yang pertama kali melihat tembok ini atau lebih dikenali dengan tembok raksasa. Tembok ini juga salah satu keajaiban dunia yang memiliki jarak 6,400 kilometer. Mula dibangunkan sejak abad ke-9 sebelum Masihi secara tangana, ia merupakan benteng pertahanan serangan musuh.

Tembok Besar merupakan mercu tanda negara China. Anak-anak begitu seronok mendaki di celah-celah ribuan pengunjung. Penulis hanya mampu memandang dari jauh.

Untuk makan tengah hari, Miss Sue membawa kami sebuah restoran halal. Antara menunya adalah itik panggang di samping sayuran serta isi ikan yang rangup.

Di kota Beijing banyak terdapat restoran halal yang memudahkan pelancong Muslim. Lawatan seterusnya ke Silk Store iaitu gedung sutera, sempat juga penulis membeli selimut, cadar, kain yang diperbuat daripada sutera, yang lembut dan selesa.

Bird Nest

Sebuah stadium yang berbentuk sarang burung raksasa, sangat popular sejak Beijing menganjur Sukan Olimpik 2008. Stadium yang mampu memuatkan sehingga 80,000 penonton. Satu kawasan yang amat luas, bersebelahan Bird Nest ada sebuah mercu tanda ibu kota Beijing, iaitu bangunan Pusat Akuatik Nasional Beijing, Water Cube.

Ia adalah pusat kegiatan sukan air yang didirikan pemerintah sebagai daya tarikan bagi yang berkunjung ke Beijing. Dua jam berlalu begitu cepat, sempat juga anak-anak membeli-belah barangan cenderahati di deretan kedai yang terletak di kawasan stadium ini.

Niu Jie Mosque

Masjid yang menjadi tumpuan pelancong, kami sempat solat dan meninjau kawasan yang cukup tenang dan sunyi. Masjid utama dan tertua di Beijing ini mula dibangunkan pada tahun 996, pada masa pemerintahan Kaisar dari Dinasti Liao. Sudah melintasi enam zaman, ia menjadi titik awal kemasukan Islam di benua China. Di kawasan Muslim ini, kami seronok dengan sapaan penduduk tempatan yang memberi salam penuh mesra.

Di sini juga terdapat Niu Jie Muslim Supermarket. Dengan kesempatan yang ada, kami membeli-belah kekacang, manisan, buah-buahan yang agak murah sebagai buah tangan dari Beijing.

Untuk hari terakhir kami di Beijing, selepas daftar keluar hotel, Miss Sue membawa kami ke Negative Ion Experience Centre. Sebuah gedung barangan Jepun, yang menjual tilam dan bantal bermutu tinggi.

Kemudiankami ke Masjid Nan Dou Ya, dan kebiasaannya di kawasan masjid ini terdapat masyarakat Muslim berjual beli. Penulis terasa ingin mencuba keledek bakar yang lazat tetapi hampa. Hari beransur petang dan kami ke acrobatic show satun pertunjukan Akrobatik China yang memang sukar ditandingi. Terbaik dan tersohor aksinya di serata dunia.

Apabila peserta beraksi, suasana begitu mencemaskan, riuh rendah dengan jeritan memenuhi dewan. Anak-anak begitu asyik dan terhibur dengan pengisian percutian ini. Terima kasih Nurul Shafinaz yang telah menguruskan segalanya.

Selepas makan malam, kami dibawa ke Lapangan Terbang Beijing untuk pulang ke tanah air. Alhamdulillah tepat pukul 9 pagi kami sampai ke tanah air.