Bandung adalah bandar ketiga paling ramai penduduk di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya, dengan lebih 2.6 juta penduduk pada tahun 2015. Terletak 768 meter (2,520 kaki) di atas paras laut, Bandung mempunyai suhu sejuk sepanjang tahun berbanding kebanyakan bandar lain di Indonesia. Kota Bandung dan sekitarnya, pada masa lampau merupakan danau dikenali Danau Bandung dikelilingi gunung berapi. Jika kita berada di aras ketinggian dan melihat sekitar kota Bandung, ia seakan berada di bawah sebuah kuali raksasa, yang mana di sekeliling mulut kuali ialah gunung ganang mengelilinginya.

Bandung kaya dengan warisan seni dan budaya. Selain digelar Parijs van Java (Paris Jawa) oleh Belanda kerana persamaannya dengan Paris dan suasana Eropah zaman penjajah, Bandung juga dikenali sebagai Kota Kembang, atau bandar bunga kerana mempunyai pelbagai bunga. Kepelbagaian biodiversiti semulajadi sangat dipelihara dan dipulihara. Disebabkan perlindungan warisan ala mini, kota ini dikelilingi pohon rimbun yang menyamankan cuaca dan suhu sekitar kota. Rumah-rumah tinggalan zaman penjajah dikekalkan di sekitar universiti dan factory outlet untuk menjadi rumah tamu atau inap desa. Masyarakat kota sangat peramah dan berbudi bahasa. Sungguhpun tidak pernah bersua atau bekerjasama, mereka menerima kunjungan kami dengan penuh persediaan dan kehangatan.

Kota ini terkenal dengan bandar universiti, tekstil dan tempat makan hebat untuk pengembaraan gastronomi. Masa kini, Bandung menjadi destinasi percutian hujung minggu sangat popular untuk masyarakat Jakarta, Malaysia, Singapura dan Brunei untuk membeli-belah dan menjamu selera. Ia mempunyai kira-kira 70 peratus daripada industri tekstil Indonesia. Industri ini mewujudkan lebihan atau eksport sisa untukdijual kepada penduduk tempatan dan pelancong pada harga jauh lebih murah. Sungguhpun bukan seorang shopoholic tetapi apabila di kota ini, sukar untuk tidak terjebak membeli belah.

Selain itu, pelbagai aktiviti lain boleh dilakukan terutama mencuba pelbagai menu makanan enak yang memprovokasi selera gastronomi. Bandung adalah syurga makanan. Terdapat beratus makanan di sini daripada warisan budaya tradisional mahupun masakan moden. Pilihan di tangan pelanggan, jenis makanan apa yang mempunyai ‘wow’ faktor untuk pengalaman menjamu selera yang tidak dapat dilupakan. Jika tiada hidangan Melayu, anda boleh cuba makanan Cina dan kafe moden di seluruh Bandung. Terdapat pelbagai gerai makanan sepanjang jalan pintu masuk ke universiti. Kerana itu, pensyarah universiti di sana agak terkejut apabila melawat universiti di Malaysia kerana tidak terdapat gerai makan di sekitar jalan di luar kampus universiti-universiti Malaysia.

Tempe dan tauhu adalah makanan ruji masyarakat Indonesia. Di dalam setiap menu, pasti terdapat tempe dan tauhu goreng yang wajib dicuba kerana rasanya sedap berbanding di Malaysia. Ini kerana kacang soya atau kacang kedelai adalah antara sumber makanan utama masyarakat Indonesia yang diimport.

Kegunaan kacang kedelai telah dipelbagaikan di dalam setiap hidangan. Malah kacang goreng nasi lemak menggunakan kacang kedelai. Antara menu utama lain yang wajib ada di kota ini ialah Sayur Asem atau sup sayur agak masam mengandungi suku tongkol jagung, kacang kedelai dan sayuran lain, dihidangkan panas di dalam mangkuk kecil mengiringi hidangan nasi. Keropok sayur goreng juga antara hidangan wajib masyarakat Indonesia. Tidak kira anda makan di rumah makan atau restoran, keropok ini adalah hidangan disajikan. Rasanya sangat ranggup sebagai pembuka selera.

Keju juga antara makan yang pasti ada di dalam setiap kuih tradisi dan kek masyarakat Bandung. Biarpun hanya pisang goreng, namun, di dalamnya diselit seketul kecil keju. Terdapat pelbagai jenis jajan (kuih muih) disajikan oleh pihak universiti kepada kami setiap hari selama di sana. Ia dibungkus di dalam kotak khas bersama air mineral. Antara kuih ialah serabi iaitu pankek manis dan masam, kuih nona manis, lemper (pulut berinti kelapa pedas), wajit cililin (wajik pulut), bandros (tepung dan kelapa), martabak bandung (apam balik), pisang molen, brownies dan kek lapis Indonesia.

Jika ingin merasai hidangan tempatan, makanan Sunda adalah antara menu harusdi cuba. Sama dengan hidangan Melayu, harga makanan agak munasabah. Berkunjung ke kota Bandung terasa kurang lengkap jika tidak merasai kulinari khas Sunda. Ini kerana Bandung adalah syurga kulinari Sunda yang pelbagai. Masakan khas Sunda memiliki cita rasa khas, pedas yang sangat dominan. Selain pedas, masakan khas Sunda memiliki rasa manis. Terdapat deretan rumah makan dan restoran menawarkan menu khas makanan Sunda, daripada kaki lima sehingga ke tahap hotel lima bintang, terpulang untuk membuat pilihan berdasarkan kemampuan tekak dan perut untuk menikmatinya.

Antara masakan Sunda popular ialah Nasi Timbel iaitu nasi putih panas, dibungkus daun pisang, untuk menimbulkan aroma khas. Caranya hampir sama dengan membuat lontong; ditekan, dipadatkan dan digulung di dalam daun pisang. Nasi ini disaji dengan pelbagai lauk di dalam pinggan seperti tahu dan tempe goreng, ayam atau itik goreng, sayur asem, sambal serta lalapan (ulam) segar seperti terung pipit, putik bunga betik, daun kemangi serta timun. Rasanya seperti nasi impit atau lontong di Malaysia.

Satu lagi hidangan Sunda popular di Bandung adalah Ikan Gurame terbang atau Ikan Gurame menari. Ikan Gurame (Osphronemus goramy) adalah sejenis ikan air tawar popular di Bandung. Ikan gurame goreng di mana isi badan ikan disiat kemudian digoreng dalam api besar hingga garing. Apabila dihidangkan, ikan kelihatan seperti terbang atau menari akibat daripada perubahan bentuk badan ketika digoreng di dalam minyak panas. Ia disajikan bersama sambal sedap dan pedas. Pastikan mencuba jus Alpukat atau Avocado asli dan lemak manis atau merasai Teh Botol paling terkenal di Kota Kembang.

Satu tarikan di Indonesia yang dikagumi ialah, tandas di setiap universiti yang pernah dikunjungi sangat bersih dan berbau nyaman. Tidak kira tandas staf atau pelajar, dijaga dengan rapi agar memberi keselesaan kepada pengguna.

Ringkasnya, Bandung adalah kota hebat dengan kepelbagaian makanan hasil tinggalan warisan budaya dan kecanggihan kemajuan teknologi. Melalui provokasi makanan, pelancong dapat mempelajari budaya dan tradisi masyarakat Indonesia. Bercuti di Bandung bakal menjadi pengalaman berharga jika anda menghargai Indonesia dan warisan budayanya!