Tambahan lagi, apabila Langkawi telah diisytiharkan sebagai Global Geopark (Taman Geo Sedunia) pertama di Malaysia dan Asia Tenggara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1 Jun 2007 dan menjadi ahli ke-52 dalam Jaringan Antarabangsa Taman Geo (GGN).

Pengiktirafan ini sangat penting dalam peta dunia iaitu Langkawi adalah antara 120 Global Geopark UNESCO lain daripada 33 buah negara di dunia yang bernaung di bawah agensi PBB itu pada 17 November 2015.

Taman geo berkeluasan 478 kilometer (km) persegi itu adalah suatu kawasan yang terdapat tapak warisan geologi yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan secara lestari. Taman geo mempunyai unsur-unsur ekologi, arkeologi, sejarah dan budaya yang sememangnya tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan sesebuah masyarakat.

Hubungan antara kehidupan, kepelbagaian geologi dan biologi serta budaya, merupakan komponen penting bagi setiap taman geo.

Formasi batuan di Langkawi yang unik telah menarik minat ahli geologi bagi memahami sejarah batuan misalnya granit Gunung Raya yang berusia 220 juta tahun. Formasi Gunung Machinchang adalah yang pertama di Asia Tenggara di zaman Kambria lebih daripada 500 juta tahun dahulu dan kawasan Telok Datai adalah antara yang tertua.

Baru-baru ini bermula daripada Julai lalu, syarikat penerbangan China Southern merancang untuk menambah laluan ke Malaysia memfokuskan Langkawi. Antara cadangan adalah penerbangan tiga kali seminggu Guangzhou-Langkawi. Bilangan pelancong dari China dijangka meningkat tiga kali ganda kepada 380,000 berbanding 127,689 pelancong China pada tahun lepas.

Peningkatan ini menunjukkan Langkawi semakin popular dalam kalangan rakyat China dan melihat kepada populasi rakyat China, aliran semasa pelancongan China dan hubungan baik Malaysia-China sekarang, lambakan pelancong China dijangka terus meningkat.

Pihak pengurusan Langkawi mestilah memikirkan sesuatu bagi menangani kebanjiran pelancong dari negara China dan negara-negara lainnya ke Langkawi dengan mengambil kira kelestarian sumber semula jadi dan kemampuan menampung ramai pelancong.

Langkawi sudah mempunyai sejarah dari segi ahli pelayaran China sejak abad ke-14, ketibaan orang Aceh dengan tanaman lada Perancis pada abad ke-17 dan ditakluk Siam pada abad ke-19.

Langkawi sudah terkenal daripada sejarahnya sebagai tempat persinggahan ahli pelayaran dan perniagaan rempah dan yang lebih popular dalam kalangan rakyat tempatan ialah sejarah Mahsuri pada abad ke-19.

Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berpotensi menjadi pemacu ekonomi yang signifikan adalah sektor pelancongan. Pada tahun 2010, sektor ini menjana pendapatan sebanyak RM56.5 bilion dengan kedatangan pelancong seramai 24.6 juta.

Daripada jumlah ini, RM1.8 bilion disumbangkan oleh dua juta pelancong dari dalam dan luar negara yang telah mengunjungi pulau peranginan yang terkenal dan bersejarah itu.

Aktiviti pelancongan yang berfokus seperti Pulau Langkawi memerlukan penyelenggaraan kawasan pelancongan sedia ada dengan baik jika kita ingin menyasarkan Malaysia sebagai antara 10 negara teratas dari segi pendapatan pelancongan global seterusnya menyumbang RM104 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020.

Dengan beberapa pengiktirafan antarabangsa diberikan kepada Langkawi sebagai satu daripada 10 pantai terindah di dunia oleh National Geographic pada tahun 2011; dan pengisytiharan Langkawi sebagai Langkawi Geopark oleh UNESCO pada 2007 telah mengukuhkan kredibilitinya pada peringkat antarabangsa.

Kebanjiran pelancong yang terlalu ramai ke Langkawi mungkin boleh menjejaskan kualiti alam sekitar yang menjadi tarikan utama pelancong. Sisa pepejal adalah antara yang menjadi cabaran utama sekiranya tidak mempunyai perancangan pengurusan dengan baik.

Pendapatan hasil daripada perbelanjaan pelancong di Langkawi disasar mencecah RM6 bilion tahun ini berbanding RM5.8 bilion pada tahun lalu.

Pencemaran sisa pepejal bukan sahaja menampakkan keadaan yang tidak bersih tetapi juga memberikan kesan kepada flora dan fauna serta habitat mereka yang menjadi tarikan pelancong.

Mungkin satu teknologi baharu seperti MBT (Mechanical, Biological Treatment) selain daripada penggunaan insinerator dan tapak pelupusan sampah perlu diperkenal. Usaha menggunakan teknologi baharu mestilah bermula dari sekarang memandangkan banyak prosedur yang perlu diikuti sebelum teknologi baharu dapat dibina. Perancangan untuk teknologi baharu mungkin mengambil masa dua tahun atau lebih dalam membuat perbincangan, penelitian, kajian keberkesanan projek dan kesan kepada alam sekitar, birokrasi dan membuat keputusan, pembinaan kilang dan sebagainya.

Dalam masa dua atau tiga tahun, Langkawi akan mendapat tekanan penambahan sisa pepejal yang tinggi dan boleh menjejaskan reputasi Langkawi sekiranya tidak diuruskan dengan betul.

Kisah kesan pencemaran daripada tapak pelupusan sampah di Kampung Belanga Pecah Ogos tahun lalu ke atas kawasan utama tarikan pelancong di Kilim telah dibincangkan dalam media.

Berbagai-bagai pandangan diberikan oleh pelbagai pihak, pelancong, penduduk tempatan, pengusaha pelancongan dan pihak berkuasa termasuk Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Keadaan kawasan berdekatan tapak pelupusan sampah dilaporkan busuk dan boleh mengancam kesihatan manusia seperti jangkitan bakteria E. coli dan Salmonella serta menyebabkan kulit gatal.

Tapak pelupusan sampah di Langkawi telah dilaporkan berada dalam keadaan yang tidak memuaskan dan merupakan sebuah lagi bom jangka kepada alam sekitar dan alam semula jadi yang bakal menjejaskan aktiviti pelancongan Langkawi dan kesihatan penduduk tempatan.

Tangani isu alam sekitar, sisa pepejal 

Sejak lebih 20 tahun diisytiharkan sebagai pulau pelancongan, Langkawi masih belum mempunyai satu sistem pelupusan sisa pepejal yang baik. Kalau sekarang Langkawi sudah menerima lebih 200 tan sisa pepejal sehari, bayangkan dalam tempoh terdekat dengan pertambahan pelancong yang mendadak akan menambah sisa pepejal.

Maka pihak bertanggungjawab mestilah mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu sisa pepejal seperti aktiviti kitar semula, memisahkan sisa dan memikirkan kaedah terbaik.

Kepulauan Langkawi yang terdiri daripada 99 pulau kecil tidak mampu untuk mempunyai tapak pelupusan sampah seperti di tanah besar Semenanjung. Kaedah mendisiplinkan pelancong, amalan pengusaha pelancongan, sokongan penduduk tempatan dan menyediakan teknologi terbaik mungkin antara penyelesaian untuk sisa pepejal di Langkawi.

Kajian yang dilaporkan oleh Journal of Agriculture Science 2012, Langkawi mempunyai 3,142 hektar (ha) kawasan hutan bakau dengan Hutan Simpan Kisap mempunyai 1,336 ha. Hutan bakau di Langkawi merupakan ekosistem yang unik dan jarang dijumpai tumbuh di kawasan cetek batu kapur. Sebanyak 23 famili yang terdiri daripada 39 genus dan 58 spesies bakau telah dilaporkan.

Enam keluarga yang utama boleh ditemui ialah Avicenniaceae, Rhizophoraceae, Moraceae, Lythraceae, Polygalaceae dan Meliaceae.

Selain keunikan hutan bakau ini ia juga merupakan habitat penting bagi haiwan terutama makrobentos,burung dan kera. Helang merah (Haliastur indus), sejenis burung pemangsa daripada keluarga Accipitridae merupakan burung yang sangat menarik minat pelancong ketika menyusuri hutan bakau Kilim.

Begitu juga burung enggang kelingking (Anthracoceros albirostris) daripada keluarga Bucerotidae dan burung pekaka emas bakau (Pelargopsis amauroptera) daripada keluarga Alcedinidae. Kera (Macaca fascicularis) juga antara yang menarik minat pelancong di kawasan Kilim.

Hasil ekopelancongan menghasilkan pendapatan di banyak negara terutama yang mempunyai keadaan semula jadi yang menarik.

Antara yang penting ialah kepuasan pelancong terhadap produk alam semula jadi. Satu kajian yang dilaporkan dalam International Journal Business Management 2009, menunjukkan hutan bakau Kilim antara tarikan pelancong dan mempunyai perkhidmatan yang baik dan indeks kepuasan yang menghampiri 80 peratus. Penilaian pelancong tentang pengurusan alam sekitar hanya 14 peratus berbanding dengan amalan pemasaran yang lebih agresif 42 peratus.

Sebagai kawasan pembangunan utama Langkawi, kesan kemusnahan hutan bakau di Kilim perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkaitan. Pemantauan berterusan ekosistem hutan bakau perlu bagi memastikan kelestarian hutan bakau dan kepelbagaian biologi ekosistem bakau berkenaan.

Antara faktor pengurusan yang perlu diberikan perhatian adalah bahaya kepada alam semula jadi, mengurangkan gangguan terhadap hidupan liar dan menambah baik langkah mengurangkan kerosakan kepada alam sekitar dan pengurusan sisa pepejal.

Bagi mengurangkan tekanan dari darat seperti hakisan permukaan semua kawasan sungai perlu dilengkapkan dengan zon penampan. Aktiviti pembangunan berterusan, pengurusan saliran yang kurang cekap, penambakan tanah dan kurang penyelarasan serta pemantauan berterusan aktiviti pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan boleh mencemar kawasan sungai dan pantai.

Zon penampan sangat penting bagi membantu pencemaran sungai dan pantai. Keadaan sungai di Pulau Langkawi yang pendek dan cetek tidak mampu untuk berfungsi sebagai agen pembersihan semula jadi sekiranya pencemaran terlalu tinggis.

Pulau Langkawi merupakan eset negara penting dalam industri pelancongan berasaskan alam semula jadi. Pemantauan dan pengurusan terbaik semua ekosistem semula jadi Pulau Langkawi sangatlah penting. Semua pihak mestilah bertanggungjawab dalam memastikan Pulau Langkawi terus bersih, cantik dan menarik. Kajian saintifik berterusan juga sangat diperlukan.