Justeru bagi menghargai peranan media, Bank Rakyat baru-baru ini menganjurkan program larian Amazing Media Run di Taman Wetland, Putrajaya bagi meraikan serta mengukuhkan hubungan dengan media yang sentiasa menyokong institusi perbankan itu.

Program itu juga memberi peluang kepada media yang gemar dengan aktiviti larian untuk bersaing secara sihat dengan rakan media dari syarikat penerbitan lain.

Acara yang julung kali diadakan oleh Bank Rakyat itu merupakan tanda penghargaan kepada pihak media yang banyak membantu dalam membuat liputan bagi majlis korporat dan kempen anjuran bank tersebut.

Pada program itu, lebih 180 pengamal media hadir memeriahkan acara dengan menyertai larian sejauh lima kilometer yang bermula pada pukul 7 pagi.

Acara pelepasan disempurnakan oleh Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh.

Shukry dalam ucapannya berkata, aktiviti itu turut membuka ruang kepada Bank Rakyat untuk beramah mesra dengan media dalam suasana santai, sekali gus dapat mengeratkan ikatan silaturahim yang terjalin selama ini.

“Kita mahu menghargai peranan media yang telah banyak membantu kita selama ini menerusi laporan berita sama ada media elektronik atau cetak.

“Sumbangan media amat penting. Tanpa anda, Bank Rakyat tidak mampu melakukan perubahan menerusi cadangan dan kritikan media,” katanya.

Shukry berkata, acara larian semakin mendapat perhatian pelbagai lapisan umur pada masa kini apabila pelbagai penganjuran larian jarak dekat dan jauh diadakan di seluruh negara.

“Penganjuran aktiviti seumpama ini sejajar dengan usaha kerajaan meningkatkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat termasuk remaja.

“Oleh yang demikian, Bank Rakyat menganjurkan program ini bagi mengajak media melakukan aktiviti sihat," katanya.

Bersempena dengan program Amazing Media Run itu, Bank Rakyat turut meraikan golongan autistime dari Persatuan Autisme Muslim Malaysia untuk menggembirakan mereka.

Peluang bersama media disifatkan sebagai satu medium terbaik untuk membuat hebahan kepada masyarakat bagi meningkatkan kesedaran membantu kanak-kanak autisme.

Antara aktiviti untuk kanak-kanak autisme ialah menunggang kuda dan berbasikal, selain majlis penyerahan sumbangan.

Usaha Bank Rakyat itu secara tidak langsung dapat menjadikan kanak-kanak autisme mencapai tahap perkembangan optimum sebelum mencecah usia dewasa.

Bagi tahun 2017, Bank Rakyat telah merancang pelbagai aktiviti menarik seperti larian, boling dan memancing untuk meraikan rakan media serta memberi peluang kepada mereka menyertai aktiviti anjuran Bank Rakyat.