Apa yang ingin saya kongsikan kali ini adalah mengenai pengalaman dan kecantikan kawasan tersebut yang merupakan kawasan pergunungan serta tumpuan bagi rakyat Kanada meluangkan masa melakukan aktiviti ‘outdoor’.

Saya selalu juga ditanya oleh kawan-kawan mengenai negara atau tempat mana yang paling cantik sepanjang tempoh pengembaraan. Maaf, sebenarnya saya tidak berminat nak mengkritik atau memberi apa-apa pandangan kerana masing-masing ada cara tersendiri.

Cuma apa yang nak saya ceritakan adalah satu lagi keindahan ciptaan Allah SWT yang saya lihat dan dijaga rapi tanpa ada apa-apa ‘pencabulan’ baik terhadap tumbuh-tumbuhan atau binatang liar.

Dan niat saya juga bukan mahu memburukkan atau menjatuhkan sesiapa. Ia adalah pendapat dan pandangan saya daripada pengalaman yang mungkin boleh dijadikan panduan agar keadaan menjadi lebih baik.

Bagi saya usaha pemeliharaan dan pemuliharaan ini mungkin tidak akan berjaya jika hanya disebabkan rasa terpaksa dan tanggungjawab serta kempen semata-mata. Ia sebaliknya memerlukan penjiwaan dan minat yang tinggi.

Sebagai contoh, saya dapat lihat kecantikan Banjaran Rocky iaitu tempat kedua tercantik (pendapat peribadi) selepas Taman Negara Denali di Alaska yang dijaga rapi walaupun telah berpuluh juta tahun usianya.

Secara umumnya, banjaran ini mengunjur hampir sejauh 4,000 kilometer (km) bermula dari Alberta, Kanada sehingga ke Amerika Syarikat (AS). Ia sememangnya cantik dan terpelihara kerana diletakkan di bawah jagaan rapi kerajaan negara tersebut.

Semasa trip saya bersama Uncle Mad, Uncle Z dan Kak Mek yang bermula dari Vancouver ke Okanagan dan seterusnya Banjaran Rocky, segalanya lancar dan tidak menghadapi sebarang masalah. Cuma ada seketika jalan sesak disebabkan kemalangan kecil.

Masa mula-mula sampai di sini, saya terpegun kerana ia benar-benar melangkaui jangkaan. Ada beberapa tasik yang boleh dilawati antaranya Tasik Moraine, Tasik Payto dan Tasik Louise. Malah ada pengunjung mandi di tasik berkenaan.

Sepanjang perjalanan, apa yang saya perhatikan, rata-rata masyarakat di sini lebih gemar bercuti menggunakan ‘campervan’ atau kenderaan rekreasi (RV). Paling tidak pun tidur sahaja dalam kereta untuk beberapa hari sebelum bergerak ke kawasan lain dan mencari hostel.

Mereka tidak risau kerana kemudahan seperti tandas ada disediakan di sesetengah tempat. Begitu juga jika ingin mandi. Terjun saja di sungai atau tasik yang sememangnya bersih dan jernih seperti kristal.

Tambah menarik, saya melihat sikap pengunjung yang terdiri daripada penduduk negara ini secara bersama-sama membersihkan kawasan perkhemahan dan membuang sampah walaupun ia bukan sisa yang ditinggalkan oleh mereka.

Bagi saya, usaha sebegini tidak akan berjaya sekiranya dengan hanya mewujudkan pelbagai kempen atau slogan untuk menghiasi tajuk utama berita semata-mata. Apa yang penting adalah menjiwai sendiri alam sekitar seawal peringkat kanak-kanak.

Anak-anak mereka didedahkan dengan aktiviti seperti mendaki, berkayak dan berkhemah, bukan hanya di sekolah tetapi dipupuk dalam kalangan keluarga sendiri.

Ia agak berbeza dengan kanak-kanak di negara kita (walaupun bukan semua) yang kini hanya diberi gajet, kononnya tidak mahu ketinggalan dalam teknologi.

Semasa zaman saya, kami hanya didedahkan dengan permainan seperti ‘polis sentri’ atau ‘konda kondi’.Jika ada pun hanya aktiviti pengakap di sekolah. Begitu juga peringkat sekolah menengah.

Cuma sejak akhir-akhir ini, sedikit sebanyak mengubah landskap pemikiran masyarakat kita dengan adanya media sosial yang berjaya menanamkan minat terhadap pemeliharaan alam sekitar serta haiwan liar.

Begitulah bagaimana pendedahan awal dapat mematangkan kita dalam aspek kesedaran alam sekitar dan kehidupan.