Pulau tersebut mempunyai kira-kira 90 kampung dan daripada bancian penduduk pada 2003, terdapat kira-kira 20,000 penduduk yang majoritinya beragama Islam.

Pulau Banggi didiami oleh lima suku kaum iaitu Bonggi, Ubian, Kagayan, Bajau Laut dan Suluk.

Penulis terpilih menyertai Kembara Media Negaraku Sabah 2017 anjuran Jabatan Penerangan yang melibatkan lebih 19 penyertaan daripada pengamal media seluruh negara bagi melihat sendiri proses pembangunan Sabah di beberapa daerah terpilih.

Sepanjang lawatan tersebut, penulis bersama peserta lain dibawa ke beberapa daerah, namun Pulau Banggi yang terletak di Kudat mempunyai daya penarik dan mampu ‘mencuri hati’ sesiapa sahaja menjejakkan kaki ke sana.

Feri merupakan pengangkutan utama ke pulau tersebut dengan waktu operasi dua kali sehari dari Jeti Kudat pada pukul 9 pagi dan 2 petang dengan bayaran RM20 sehala.

Sepanjang perjalanan, penulis terpegun dengan kejernihan air serta pemandangan indah malah perjalanan selama satu jam 15 minit dirasai amat pendek.

Bagi peminat backpacker, Pulau Banggi adalah sebahagian destinasi yang perlu dikunjungi kerana pulau itu masih lagi ‘suci’ daripada sebarang pembangunan yang mampu menjejaskan alam sekitar.

Anda berpeluang menjelajah sekeliling kampung dan apa menariknya boleh mencuba pergi ke puncak tertinggi di pulau tersebut untuk menyaksikan keindahan matahari terbenam.

Buat pengetahuan semua, hanya terdapat sebuah hotel sahaja di situ dengan pemandangan biliknya menghadap laut sekali gus memberi kedamaian bagi pelancong yang pertama kali ingin mencari makna percutian sebenar.

Anda juga tidak perlu bimbang kerana masyarakat yang tinggal di pulau tersebut sangat mesra dan mudah bergaul dengan pelancong.

Selain itu, Pulau Banggi hanya mempunyai sebuah pekan kecil yang bernama Kerakit dengan menempatkan kemudahan minimum sahaja seperti klinik kesihatan, masjid, balai polis dan beberapa kedai makan.

Bukan itu sahaja, penulis berasa begitu bertuah kerana dibawa melawat ke Gua Batu Sireh yang terletak di Pulau Balambangan yang memakan masa kira-kira 30 minit menggunakan bot laju.

Sebaik sahaja sampai di gua tersebut, rata-rata semua tidak dapat menjelajah gua tersebut kerana pintu masuknya sahaja sudah mampu menyebabkan pera­saan ingin tahu muncul de­ngan tiba-tiba.

Setelah kira-kira 10 minit berjalan, kami tiba di kawasan gua tersebut dan ternyata, keunikan dari segi bentuk muka bumi dan pelbagai jenis batuan membuatkan kami terpegun.

Gua tersebut amat sesuai untuk golongan penyelidik mahupun pelajar bagi mengkaji keunikannya.

Perjalanan kami diteruskan pada sebelah petang apabila rombongan penulis dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda oleh Felcra Berhad untuk melawat sebahagian kawasan pulau tersebut.

Kepada mereka yang gemar akan suasana ketenangan, boleh­lah merancang melawat pulau itu kerana akan menjadi salah sebuah destinasi kegemaran anda!