Apabila kembali ke negara asalnya, hampir setiap hari dia memikirkan tentang Malaysia dan merancang untuk kembali seterusnya menetap lebih lama.

Membuat perancangan dalam masa setahun sahaja, pada tahun 2013 dia yang terkenal dengan panggilan Rhys, datang semula ke Malaysia untuk bercuti dan mencari pengalaman baharu bersama orang tempatan.

“Asalnya saya hanya mahu menetap di sini selama dua bulan, namun berpanjangan sehingga empat bulan dan akhirnya saya buat keputusan untuk terus menetap di sini.

Kini, selepas empat tahun saya masih lagi di sini dan sudah mampu berbahasa Melayu seperti orang tempatan.

“Saya suka suasana di sini, berbeza dengan negara-negara yang pernah saya lawat. Apabila saya berada di Malaysia, saya lebih gembira dan salah satu perkara yang saya suka ialah makanannya yang pelbagai.

“Saya pula seorang yang gemar mencuba makanan baharu, bagi saya makanan di sini mempunyai rasa yang unik dan tersendiri, tidak mungkin boleh didapati di negara-negara lain,” katanya.

Selepas beberapa bulan menetap di Malaysia, Rhys merasakan dia perlu mempelajari bahasa Melayu supaya mudah mendekati masyarakat tempatan dan mengetahui lebih lanjut tentang sesuatu maklumat yang diperlukan.

Tidak mengambil sebarang kelas bahasa, sebaliknya dia hanya mempelajari bahasa Melayu melalui kenalan dan dengan menonton televisyen serta mendengar radio.

“Mula-mula agak susah sebab saya tak cukup berani untuk bercakap dengan orang Malaysia. Saya seorang yang pemalu dan risau kalau salah cakap nanti orang tak faham.

“Ada seorang rakan saya mencadangkan saya menulis blog untuk meperbaiki penguasaan bahasa Melayu kerana dia juga membuat perkara yang sama ketika belajar bahasa Inggeris.

“Saya ikut cadangannya dan mula membina blog sendiri iaitu www.matsallehcarimakan.com.

“Dari situ saya belajar sendiri dan bagi saya bahasa Melayu tidaklah terlalu sukar tetapi ada cabarannya tersendiri terutama jika menetap di Kuala Lumpur.

“Di Kuala Lumpur, ramai orang pandai berbahasa Inggeris. Kadangkala apabila saya mahu bercakap bahasa Melayu, mereka balas dalam bahasa Inggeris. Itu kesukarannya bagi saya,” katanya sambil ketawa.

Kerana minatnya terhadap sajian tradisi negara ini, Rhys berusaha mencoretkan pengalaman merasa juadah-juadah unik melalui penulisan blog, yang turut disertakan video pendek untuk berkongsi pendapatnya tentang cita rasa Malaysia.

Lelaki ini juga turut mempromosikan makanan-makanan tempatan di laman YouTube dan Facebook setiap kali dia melancong ke sesuatu tempat, sehinggalah dia ditawarkan oleh sebuah syarikat penerbitan untuk mengacarakan program bersiri tentang restoran-restoran menarik di Malaysia.

Apa yang mengejutkan, video profesional pertama yang dikendalikan oleh Rhys bersama syarikat tersebut mengenai Restoran Nasi Lemak Wanjo Kampung Baru, tular di Facebook dan dalam tempoh beberapa hari sahaja, dia menerima sehingga 500,000 tontonan oleh netizen.

“Saya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang penyiaran kerana di UK saya adalah seorang usahawan. Mungkin ini rezeki saya apabila di berada di bumi Malaysia, 
saya diberi peluang untuk menceburi bidang baharu yang mampu memenuhi minat saya terhadap makanan dan penghasilan video.

“Kini saya sudah terlibat dalam beberapa program bersiri secara online, selain beberapa program televisyen.

“Saya merancang untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pengacaraan dan tidak akan melepaskan peluang-peluang yang datang,” katanya yang menggemari makanan pedas dan nasi kerabu.

Ditanya tentang penerimaan keluarga, kata Rhys, mereka menyokong dan menghormati keputusannya untuk menetap di Malaysia.

Memang keluarganya tidak begitu memahami mengapa dia harus tinggal di Malaysia, namun lama-kelamaan mereka memahami kehendaknya untuk mencari pengalaman.

Malah, salah seorang adiknya gemar menonton video-video yang disiarkan walaupun tidak faham kerana dia berbahasa Melayu.