Sekitar 2014, pantai itu menjadi popular dalam sekelip mata selepas gambarnya yang memiliki ratusan pokok ru tersusun dalam barisan sebagaimana di Pulau Nami, Korea Selatan menjadi tular di media sosial.

Pemandangan unik tersebut sukar diperoleh di tempat lain, sekali gus menjadikan Pantai Senok lokasi pilihan pasangan pengantin baharu yang mahu mengabadikan potret perkahwinan masing-masing.

Selain itu, pantai tersebut yang kini diberi jolokan ‘Pulau Nami Malaysia’ juga menjadi destinasi pilihan orang ramai untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Seorang Pengarah Kreatif di sebuah butik, Khairul Asyraf Kamaru’zaman berkata, keindahannya menyebabkan pantai itu sering menjadi tumpuan jurugambar amatur dan profesional, serta pelbagai agensi untuk menjayakan sesi fotografi.

Katanya, faktor sama juga membuatkan dia terpanggil untuk mengadakan sesi penggambaran bagi mempromosikan butiknya yang terletak di Kota Jembal.

“Kami memanfaatkan sepenuhnya deretan pokok ru sebagai latar belakang. Selain pokok ru sebagai hiasan, persekitaran berangin dengan pencahayaan semula jadi yang sentiasa redup membantu kami menghasilkan gambar yang cantik.

“Saya sangat berpuas hati dengan gambar yang dihasilkan dan merancang untuk mengadakan satu lagi sesi fotografi dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui S2 di pantai Senok, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nor Naili Hazera Mohd. Nawi, 28, memberitahu, satu lagi tarikan Pantai Senok yang tidak ada di tempat lain adalah lokasi tersebut terpelihara daripada sebarang elemen pembangunan.

“Jika di tempat lain, kadangkala gambar yang dihasilkan ‘dicacatkan’ oleh struktur binaan moden seperti tiang elektrik, gerai makanan, pondok atau calet.

“Di Pantai Senok, kita dapat merakam gambar yang berelemenkan alam semula jadi 100 peratus,” katanya yang sering ke pantai itu bagi merakam gambar bersama rakan-rakan.

Ismarinie Dollah, 32, pula berkata, berdasarkan populariti diraih dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Pantai Senok berpotensi untuk dibangunkan sebagai antara lokasi pelancongan utama di Kelantan.

Katanya, rata-rata pengunjung terpesona dengan keindahan barisan pokok ru di pulau tersebut. Bagaimanapun, dia kesal kerana pantai itu gagal diurus dengan baik sehingga dicemari sampah sarap.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan dapat mencari jalan menyelesaikan masalah sampah sarap ini terutama ketika hujung minggu dan musim cuti sekolah.

“Diharap orang ramai juga dapat mengubah sikap masing-masing dengan tidak membuang sampah merata-rata.

“Jika semua pihak mempunyai kesedaran, sudah tentu kita dapat menjaga keindahan khazanah alam semula jadi di Pantai Senok ini,” katanya.