Menurut Kuratornya, Faizal Sidik, pameran yang bermula pada April lalu akan berlangsung selama sembilan bulan, bertujuan memberi peluang kepada masyarakat melihat dan menghayati keindahan dan maksud di sebalik hasil karya seni yang dipamerkan.

“Setiap hasil karya seni mempunyai makna dan nilai estetiknya tersendiri dan boleh dihayati menerusi pandangan, sentuhan serta dirasai dengan pancaindera manusia. Justeru, melalui pameran ini, kita memberi peluang kepada pengunjung dari segenap lapisan masyarakat menghayati setiap falsafah dan maksud di sebalik karya seni yang dipamerkan.

“Kita juga berharap karya yang dipamerkan dapat dijadikan sebagai sumber ilham dan inspirasi kepada setiap pengunjung terutama mereka yang meminati pembuatan karya seni.

“Menerusi pameran itu juga, pengunjung dapat bermuhasabah diri daripada apa yang dilihat kerana karya seni juga seperti filem yang merupakan refleksi kehidupan kita,” katanya kepada S2.

Seni arca merupakan genre seni pertama yang dipamerkan bermula 30 April hingga 8 Julai ini, diikuti seni instalasi atau dikenali sebagai karya seni pemasangan pada 22 Julai hingga 14 Oktober dan media baharu pada 29 Oktober hingga 30 Januari 2019.

Tambah Faizal, hasil karya yang dipamerkan merupakan sebahagian daripada lebih 4,000 koleksi tetap Balai Seni Negara yang terpilih dan memiliki keunikan tersendiri.

“Dalam pameran genre seni arca, hampir keseluruhan karya merupakan hasil seni pengkarya tempatan yang dikumpul dari zaman ke zaman yang diperbuat daripada pelbagai material seperti kayu, besi, simen dan logam. Terdapat juga karya yang dihasilkan daripada barangan buangan yang diperbuat daripada getah dan plastik.

“Pameran yang dianjurkan sebelum ini banyak menghasilkan karya seni yang dipamerkan dan hanya dinikmati melalui satu arah pandangan. Namun, kali ini kita ketengahkan karya bersifat tiga dimensi yang boleh dilihat dari pelbagai sudut keliling 360 darjah.

“Justeru, pameran ini membuka peluang bermakna yang seharusnya tidak dilepaskan oleh masyarakat, memandangkan koleksi terpilih ini jarang sekali dipertontonkan atau dipamerkan kepada khalayak.

“Pameran ini adalah platform terbaik untuk pengunjung melihat dengan lebih dekat, sekali gus menyelami keindahan seni setiap karya yang dihasilkan oleh pengkaryanya,” tambahnya.

Antara pengkarya seni yang terlibat ialah Mad Anuar Ismail, Raja Shariman Raja Aziddin, Sharmiza Abu Hassan, Abdul Aziz Tapa, Anthony Lau, Suhaidi Razi, Zul Idris dan Chen Chin Fook.