Namun, kadang-kadang pame­ran sebegini terlalu teknikal dan sekadar memberi peluang kepada pembekal dan jenama barangan hiasan dalaman mempromosikan barangan dan perkhidmatan.

Bagi mewujudkan sebuah pameran hiasan dalaman yang berasaskan kepentingan susun atur dan suasana reka bentuk dalaman, Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (HOMEDEC) ke-15 berganding bahu dengan Pameran Dalaman REKA (RiX 2017) bagi menganjurkan pameran rekaan dalaman, produk dan objek yang dikuratorkan yang julung-julung kali diadakan di sini.

Bakal berlangsung dari 19 hingga 22 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pameran rekaan dalaman ini diinspirasikan dari produk, bukannya struktur dan uniknya ia dikuratorkan oleh pereka hiasan dalaman untuk pereka hiasan dalaman. Ini membuatkan pameran ini lebih tersusun dan harmoni dengan konsep yang dipilih.

Memilih tema Rekaan Infiniti - Tanpa Sempadan berdasarkan tema REKA Design Week 2017, kurator yang dipilih, Naib Presiden Institut Rekaan Dalaman Malaysia (MIID), Ooi Boon Seong dan ahli majlis MIID, Lai Siew Hong bertanggungjawab mengharmonikan elemen pameran supaya pengunjung dapat menikmati dan memahami konsep yang dipamerkan sepenuhnya.

Tujuannya untuk memberi inspirasi kepada pengunjung mengambil idea inovatif ini bagi melengkapkan rekaan dalaman mereka. Ruang pameran yang dikuratorkan juga memberi peluang kepada jenama dan pembekal barangan hiasan dalaman mempamerkan produk dengan kegunaan rekaannya sementara menyediakan gambaran keseluruhan yang komprehensif tentang inovasi rekaan tersebut.

Presiden MIID, Chris Yap berkata, tema Rekaan Infiniti - Tanpa Sempadan itu berdasarkan konsep abstrak rekaan tiada sempadan dengan pelbagai kemungkinan dan idea yang akan dibentangkan sepanjang REKA Design Week 2017.

“Konsep infiniti juga boleh diaplikasikan sebagai pencarian kepada penyelesaian rekaan yang praktikal, berdasarkan teori dan teologi. Ini menunjukkan penyelesaian masalah dan pilihannya adalah tidak terbatas dan boleh diperoleh dari REKA Design Week 2017,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran RiX 2017, baru-baru ini.

Turut dianjurkan bersama oleh C.I.S Network Sdn. Bhd. (CIS) dan MIID Reka Sdn. Bhd. (MRSB), dianggarkan 60,000 pengunjung menghadiri HOMEDEC yang mana RiX sebagai tarikan utama.

HOMEDEC, pameran rekaan dalaman, perabot dan aksesori terulung Malaysia, bertujuan memberi inspirasi kepada pemilik kediaman dengan tema menarik dan penyelesaian baru dalam menjelmakan rumah idaman mereka. Ia juga platform bagi golongan profesional dalam industri hiasan dalaman berkongsi idea tentang perkara terkini dan isu-isu berbangkit.

Untuk keterangan lanjut, layari www.homedec.com.my dan www.rixmalaysia.com.