Malah pengorbanan gurunya yang tidak pernah jemu berusaha mendidik setiap anak muridnya telah memberikan inspirasi kepadanya untuk lebih berminat ke arah meraih kerjaya tersebut.

“Saya mula meminati dunia perguruan ketika berada dalam Tahun Enam persekolahan. Cikgu Mimi iaitu guru yang mengajar subjek English merupakan idola saya.

“Cara dia mengajar dan berusaha menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik perhatian murid termasuk dalam aspek menerangkan sesuatu perkara, membuatkan saya tertarik untuk menjadi seorang guru sepertinya,” katanya kepada S2.

Tambahnya, untuk menjadi seorang guru, seseorang perlu ada sifat kesabaran dan keikhlasan supaya walau apa pun cabaran yang dihadapi, masalah itu dapat ditangani dengan baik.

“Bagi saya kesabaran, kesungguhan dan kejujuran sangat penting. Menjadi seorang guru perlu banyak bersabar dengan kerenah dan sikap pelajar. Memang sangat sukar. Namun, sebagai seorang pengajar, kita tidak boleh bersikap ‘asal boleh’ ketika mengajar.

“Asalkan saya telah ajar, dah cukup. Itu adalah sikap yang salah dan perlu diperbetulkan. Selagi ada pelajar yang tidak faham, selagi itulah guru perlu memberikan penerangan kepada mereka (pelajar). Kena ulang sehingga mereka benar-benar faham.

“Sudah tentu paling penting adalah keikhlasan dalam mendidik setiap pelajar. Dengan hadirnya ikhlas, in shaa Allah, pelajar akan mudah faham dan kerja sebagai guru pun akan diberkati,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Husnina gemar menonton filem genre komedi dan tidak menyukai filem seram.

“Saya suka filem komedi English. Salah satu filem kegemaran saya, Central Intelligence lakonan Kevin Hart dan Dwayne Johnson.

“Seronok menonton filem ini kerana selain menghiburkan hati, dalam masa sama, ia boleh menghilangkan stres,” ujarnya.