Sebagai seorang pereka bentuk dalaman di sebuah syarikat di Seremban 2, Negeri Sembilan, Nor Ezza Nafiesha Zakaria cukup menjaga pemakanan dan mengamalkan diet yang sihat agar sentiasa kekal langsing dan menarik.

Sebagai seorang yang mementingkan kesihatan, mengamalkan gaya pemakanan seimbang amat perlu dalam kehidupan kerana tersalah memilih makanan, antara faktor mudah menjadi obesiti dan menghidap pelbagai penyakit.

Berusia 27 tahun, Nor Ezza menjelaskan diet pemakanan yang betul penting supaya tidak mengundang bahaya.

“Setakat ini, saya tiada masalah berhubung diet yang saya amalkan.

“Sebenarnya, saya bukanlah tidak mengambil makanan lain, tetapi saya akan memastikan jumlah kalori yang diambil dalam sehari tidak melebihi sukatan jadual pemakanan saya,”katanya kepada S2.

Gadis yang memiliki ketinggian 152 sentimeter ini memberitahu, amalan makanan yang biasa dia ambil setiap hari adalah yogurt, buah-buahan, sayur-sayuran, lebihkan makanan protein dan banyak minum air suam.

Selain itu, Nor Ezza menjelaskan, dia akan pergi ke gimnasium untuk bersenam selama empat kali dalam masa seminggu.

“Selain dapat mengekalkan bentuk badan yang langsing, senaman yang konsisten juga membantu meningkatkan kecergasan dan kesihatan diri,” ujarnya.