Pengorbanan, suka duka pengusaha dan peniaga nasi lemak tidak ramai mahu ambil tahu. Apa yang penting bagi orang ramai, nasi lemak dan lauk pauk yang dihidangkan bersama mesti sedap memenuhi selera kebanyakan rakyat negara ini.

Peniaga nasi lemak, Ishak Jamlus, 54, antara ribuan peniaga nasi lemak yang mempunyai cerita tersendiri sepanjang menjual makanan popular rakyat Malaysia itu.

Berpengalaman hampir 30 tahun, beliau memulakan perniagaannya dengan menghantar nasi lemak bungkusnya ke gerai-gerai mamak di Lembah Kelang.

Kemalangan jalan raya 30 tahun lalu telah mengubah hidupnya daripada operator kilang kepada penjual nasi lemak sepenuh masa. Bermula dari situ beliau tidak menoleh ke belakang lalu mengorak langkah berniaga sepenuh masa di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi dan pasar malam kawasan sekitarnya sehingga kini.

Kebanyakan mereka yang datang membeli nasi lemaknya adalah pelanggan tetap sejak dari dahulu lagi.

Tatkala insan lain enak dibuai mimpi, seawal pukul 5 pagi Ishak dan isteri serta pekerja sudah bangun menyiapkan bahan-bahan untuk menyediakan nasi lemak.

Bagi memastikan rasanya kekal sedap, nasi lemak dan semua lauk mesti dimasak awal pagi. Ini penting bagi memastikan ‘kesegaran’ nasi lemak berkenaan, sekali gus membolehkan para pelanggan menikmati nasi lemak berkenaan dalam keadaan segar.

Menurutnya, sambal tumis yang menjadi perasa utama dalam nasi lemak dimasak hanya menggunakan cili kering tanpa campuran bahan-bahan lain. Ini bagi memastikan ianya memenuhi cita rasa pelanggan.

Baginya kepuasan pelanggan menikmati nasi lemak seperti masakan di rumah menjadi keutamaannya. Keuntungan akan datang apabila jumlah pelanggan berpuas hati dan akan mewar-warkan pada orang lain.

Menurut beliau proses penyediaan nasi lemak berskala besar tidaklah terlalu rumit, ianya hampir sama saja memasak untuk keluarga cuma jumlahnya lebih banyak dan sukatan dalam setiap penyediaan seperti sambal tumis dan nasi perlu mengikut sukatan yang  telah di tetapkan.

Bagi Ishak, setiap bahan-bahan perlu disediakan dalam jumlah yang cukup bagi memastikan rasanya sama, tidak lari walaupun ada pertambahan permintaan terutama pada hujung minggu.

Tradisi membungkus nasi lemak mengunakan daun pisang pula terus dipertahankan sejak mula berniaga, meskipun terpaksa menanggung kos tinggi.

Atas kesabaran dan kesungguhannya, nasi lemak Ishak pernah diterbangkan sehingga ke Australia, selain Sabah dan Sarawak oleh pelanggannya. Rasa enak dan kesegarannya dapat dirasakan dengan mengasingkan semua bahan-bahan dalam nasi lemak tersebut.

Walaupun pada peringkat awal perniagaan tersebut sekadar menjana pendapatan keluarga, kini perniagaan tersebut berjaya dipertingkatkan kepada perkhidmatan katering untuk sebarang majlis keraian.

Semua itu dilakukan dengan menggunakan modal daripada menjual nasi lemak. Siapa sangka daripada menumpang di restoran-restoran mamak, Ishak dan perniagaan nasi lemaknya boleh melangkah lebih jauh sehingga hari ini. - UTUSAN ONLINE