Nasi kukus biasanya dipadankan dengan ayam goreng berempah pada cita rasa asal, bagaimanapun, dalam usaha memberikan pilihan lauk dan juga kepada mereka yang tidak mengambil ayam dalam sajian harian, Restoran Nasi Kukus Lejen menyediakan empat pilihan lauk untuk pelanggan.

Masih mengekalkan ayam goreng berempah sebagai salah satu lauk untuk dipilih pelanggan, pemilik restoran tersebut Zaiti Rosli, 41, berkata, tiga lagi lauk yang disediakan ialah ayam goreng kunyit, ikan keli celup tepung dan juga puyuh goreng berempah.

“Kita mahu pilihan ini boleh memberi peluang kepada mereka yang mahukan kelainan dalam menikmati hidangan nasi kukus selain hanya menawarkan ayam goreng berempah sebagai lauk utama.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima di luar jangkaan kerana setiap satu masakan lauk mempunyai permintaan yang berbeza daripada golongan masyarakat.

“Sebagai contoh, permintaan orang Melayu lebih kepada ayam goreng berempah manakala orang Cina pula suka ayam goreng kunyit,” ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di No. 3, Tingkat bawah, Jalan SS21/56B, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Selain menawarkan pelbagai pilihan lauk kepada pengunjung, keistimewaan dan kelebihan nasi kukus di restoran ini juga terletak pada kuah karinya.

Jika selama ini kita hanya menikmati sejenis sahaja kuah kari yang dinikmati bersama nasi kukus, tetapi bagi pengunjung restoran ini boleh memilih sama ada ingin menikmati kuah kari ayam pedas, kuah kari ayam manis atau pun campuran kedua-duanya sekali.

Menyediakan setiap hari 30 ekor ayam, 100 ekor burung puyuh dan 15 kilogram ikan keli, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini menyatakan kesemua bahan mentah diperoleh segar daripada pembekal tempatan.

Beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 9 malam manakala Sabtu dan Ahad sehingga 7 malam, restoran ini mampu memuatkan sehingga 80 pengunjung pada satu-satu masa.

Menawarkan konsep layan diri bagi pelanggan yang ingin menikmati nasi kukus, Zaiti bagaimanapun menjelaskan konsep tersebut tidak dilaksanakan pada hari Sabtu dan Ahad.

Selain nasi kukus, restoran ini turut menawarkan sajian-sajian lain seperti laksa dan bihun sup utara.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkata, untuk bahan perapan dia menggunakan rempah ratus dan juga herba-herba asli Melayu dan setiap masakan disajikan segar.

Menjadikan dapur di Damansara Utama sebagai dapur utama, Zaiti akan memastikan dirinya ‘turun padang’ setiap hari untuk membantu dan memantau segala kerja di situ selain sebuah lagi cawangan restorannya di medan selera, Giant Shah Alam.

“Setiap hari, saya dan pekerja lain termasuk dua orang adik akan melakukan persiapan untuk menyediakan menu ini seawal 6.30 pagi.

“Ini kerana pada pukul 10 pagi, semua sajian perlu sedia untuk dihantar ke medan selera di Giant Shah Alam termasuk masakan di restoran ini.

“Ini menjadikan sajian di kedua-dua tempat ini iaitu di Damansara Utama mahupun di Shah Alam sama sahaja rasa dan kesegarannya bagi memberikan hanya yang terbaik kepada pelanggan,” tuturnya sebelum mengakhiri bicara. - Gambar NASIRRUDDIN YAZID