Ramai yang lebih gemar bersantai dan berehat di rumah kerana beralasan tidak mempunyai tenaga memandangkan tidak makan serta minum pada waktu siang.

Namun berbeza bagi Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd. Thalal Wafa, 28. Ini kerana sepanjang bulan puasa, dia tidak ‘duduk diam’. Dia akan menghabiskan masa antara tiga hingga empat jam melakukan sukan paragliding.

Mesra dengan panggilan Nadiah, atlet negara itu berpendapat rukun Islam ketiga tersebut bukanlah halangan untuk menjalani latihan sebagai persiapan menyertai pertandingan Test Event 2018 Asian Games -disiplin cross country XC, Ogos ini.

“Saya perlu berusaha keras kerana masa semakin suntuk. Latihan tidaklah membebankan. Paling penting, pemakanan perlu dijaga.

“Pertandingan tersebut merupakan platform dan persiapan awal untuk saya menyertai kejohanan penting pada tahun hadapan iaitu 2018 Asian Games di Jakarta,” ujarnya.

Berkongsi pada awal penglibatannya dalam dunia sukan ekstrem itu, anak keempat daripada lima beradik ini memberitahu, dia menceburi bidang tersebut sejak tiga tahun lalu kerana minat yang mendalam.

“Saya akui sukan ini kurang mendapat sambutan kerana dianggap bahaya terutama pada golongan wanita. Namun sebenarnya, sukan ini sangat menyeronokkan.

“Antara kejayaan yang pernah saya capai adalah menjuarai kategori wanita ketika menyertai Terengganu International Paragliding Competition 2017 dan berada di kedudukan pertama negara dalam kategori sama,” katanya.