Bagi gadis berusia 29 tahun ini, selain belajar secara teori, ilmu yang diperolehi melalui pengalaman begitu berharga dan mengajar dirinya untuk terus maju.

“Saya bertugas di dalam bidang setiausaha sejak empat tahun lalu. Bermula daripada pengetahuan yang kosong, kini saya boleh bangga dengan apa yang saya perolehi di dalam bidang ini,” katanya kepada S2.

Langkahnya untuk terus cemerlang tidak terhenti setakat belajar bersandarkan pengalaman kerja semata-mata, sebaliknya dia merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama pada bila-bila masa.

“Saya lebih gemar belajar melalui praktikal tetapi jika mahu pergi lebih jauh, saya sedar pelajaran juga tidak boleh diketepikan,” katanya.

Menurut gadis yang berdarah kacukan Melayu dan Switzerland ini, keluarganya gembira dengan kerjaya yang menjadi pilihannya itu.

Nadiah yang sebelum ini pernah melanjutkan pelajaran di Malaysian Institute of Intergrative Media (MIIM) berkata, pada masa lapang dia gemar ke gimnasium, menonton filem di Netflix serta memasak.

Ditanya mengenai latar belakang, Nadiah berkata, dia sering pulang ke kampung sebelah bapanya di Switzerland yang diketahui umum mempunyai pemandangan yang cantik.

Katanya, walaupun ibu dan bapanya sudah berpisah tetapi dia sering melawat bapanya di negara itu.

Jika tidak, bapanya pula akan datang ke Kuala Lumpur untuk melawat dia dan keluarga.