Tidak mempunyai asas peragaan, bukan halangan bagi anak kelahiran Perak ini menerokai bidang itu yang dianggap satu platform untuk menonjolkan keyakinan diri.

“Walaupun sudah mencuba pelbagai program namun, saya masih tidak berpeluang menyertai mana-mana peragaan selain berhati-hati memilih kelas peragaan di laman sosial, Facebook.

“Saya pernah ditipu oleh penganjur yang tidak bertanggungjawab menyertai sesi fotografi peragaan. Pihak tersebut meminta saya menghantar butiran diri dan gambar sehingga mereka meminta gambar yang tidak sepatutnya,” katanya sambil menambah kejadian tersebut tidak mematahkan semangatnya memilih bidang peragaan satu hari nanti.

Siti Nabila yang merupakan penuntut Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Kedah memberitahu, walaupun berminat menjadi seorang model muslimah, dia tetap menjadikan pelajaran sebagai keutamaan.

“Pelajaran tetap menjadi keutamaan dan saya pastikan untuk mendapat diploma seterusnya menggenggam ijazah dalam bidang undang-undang satu hari nanti.

“Keluarga menyokong impian saya untuk menjadi seorang guru Sejarah dan menjadi model muslimah secara separuh masa,” katanya yang merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Aktif menyertai aktiviti di kampus, dia memilih permainan badminton sebagai riadah dan berjaya mewakili fakulti dalam pertandingan badminton antara fakulti baru-baru ini.

“Saya bermain badminton mengikut senior yang mengajak dan tidak sangka dapat mewakili fakulti. Aktiviti seperti ini sangat seronok selain mengasah bakat terpendam, saya dapat berjumpa kenalan baharu,” katanya.

Jelasnya, dia sentiasa menyibukkan diri dengan membuat kerja sambilan di kafe pada cuti semester untuk mendapat wang sampingan.