Seramai tujuh pengamal media selain belia dari seluruh daerah di negeri ini turut serta dalam ekspedisi enam hari itu yang bermula pada 20 Julai ini.

Gunung Fuji merupakan gunung keempat bakal didaki RBO Team selepas mereka berjaya menawan Gunung Tahan, Gunung Kinabalu dan gunung tertinggi di Indonesia iaitu Gunung Kerinchi.

Pengerusi RBO Team, Abdul Rahim Othman berkata, ekspedisi dengan slogan Kembara Musafir Alam Sejati itu mendapat sokongan penuh daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga penaung kelab tersebut dan isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Kami menjunjung kasih atas sokongan tuanku. Tajaan, doro­ngan dan galakkan daripada ba­ginda berdua meniup semangat kami semua untuk menawan puncak tertinggi di negara matahari terbit itu.

“Saya selaku ketua ekspedisi juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih atas sumba­ngan kewangan dan tajaan baju bagi setiap peserta ekspedisi oleh kerajaan negeri menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, perancangan dan persiapan untuk melaksanakan eks­pedisi tersebut dilakukan sejak tiga bulan lalu bagi memastikan setiap peserta bersedia dengan ketahanan mental serta fizikal.

“Beberapa siri latihan dijalankan di sekitar bukit dan gunung dalam negeara sejak dua bulan lalu. Apa yang diharapkan ialah ekspedisi kali ini berjalan lancar, semua peserta dikurniakan kesihatan dan kecergasan bagi mencapai misi ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengamal media dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang, Amzari Jamaluddin mengakui berasa teruja menyertai ekspedisi RBO Team menawan puncak Gunung Fuji.

“Saya suka dengan aktiviti kecergasan yang mana mendaki merupakan satu aktiviti ekstrem kerana ia memerlukan stamina dan mental yang kuat.

“Cabarannya adalah laluan atau trek di sepanjang laluan ke Gunung Fuji yang terkenal dengan keindahannya. Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-rakan rakan dalam RBO Team mencapai misi ini,” katanya.

Seorang peserta dari Pekan, Mohd. Faris Hilmie Ali pula berkata, cabaran di setiap gunung yang didaki adalah berbeza dan ia mencipta pengalaman yang tidak mampu dibeli di mana-mana.

“RBO Team terdiri daripada peserta pelbagai peringkat umur dan kerjasama yang baik antara satu sama lain membantu misi ini tercapai terutama dalam menghadapi tekanan serta cabaran cuaca sejuk.

“Sokongan dan galakan daripada semua pihak membakar semangat kami untuk mengharungi ujian sepanjang ekspedisi nanti dan berharap impian menjadi ke­nyataan di Jepun nanti,” katanya.