Bukan sekadar satu kerja seni halus yang mampu menjadikan miniatur tersebut menyerupai objek atau suasana kehidupan seharian sebenar, bahkan mampu menjana pendapatan kerana seni ini mempunyai pengikutnya tersendiri.

Bagi anak muda yang baru berusia 25 tahun ini, berurusan dengan objek yang saiznya berkali-kali ganda lebih kecil daripada saiz objek sebenar amat menguji kesabaran.

Memerlukan daya tumpuan yang tinggi, Khairul atau lebih mesra disapa Harry, menjelaskan, miniatur merupakan satu seni yang rumit dan mencabar minda.

Dia mula berjinak-jinak dalam seni kraf tangan itu sejak lima tahun lalu selepas tamat pengajian di Universiti Limkokwing di Cyberjaya.

Hanya bermula sebagai hobi bagi mengisi masa lapang di samping mempunyai minat yang mendalam terhadap kesenian tersebut, Harry perlahan-lahan ‘menajamkan’ lagi kemahiran dan bakat yang dimiliki.

Dia menjadikan media sosial YouTube sebagai ‘guru’ untuk belajar memahami teknik yang betul sambil memperbaiki kekurangan yang ada.

“Seni miniatur di negara kita masih baharu jika dibandingkan dengan negara-negara Barat, malah kelompok peminatnya di sini juga masih tidak ramai.

“Begitupun, sudah ramai yang menceburkan diri dalam bidang ini dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan. Ada juga yang menjadikannya sebagai kerjaya tetap.

“Bagi saya, walaupun sudah melibatkan diri selama lima tahun, hanya baru tiga tahun kebelakangan ini sahaja saya betul-betul serius.

“Dahulu sebelum mendapat pekerjaan tetap, seni ini saya lakukan sepenuh masa, tetapi kini sekadar aktiviti sampingan namun masih mampu menyumbang kepada pendapatan bulanan,” ujarnya ketika ditemui di studionya di Bangi Sentral, Selangor baru-baru ini.

Kagum dengan semangat yang ditunjukkan, Harry berkata, hasil kerja tangannya itu dijenamakan bawah label Typodiisigno dan dijual pada harga antara RM300 hingga RM500. Begitupun, Harry menyatakan, harga yang dikenakan mengikut rekaan dan saiz yang ditempah pelanggan.

Buat masa ini, dia menggunakan barangan terpakai untuk menghasilkan setiap miniatur, yang semuanya dilakukan menggunakan tangan sepenuhnya.

Mengakui ia bukan tugas mudah, anak kelahiran Melaka ini berkata, dia tidak mempunyai mesin canggih untuk melakukan kerja-kerja pemotongan, melainkan mesin pelekat dan gerudi.

Menampilkan kelainan dalam penghasilan miniatur iaitu mengaitkannya dengan suasana sekeliling, Harry menggunakan teknik pembayang bagi menambah efek tiga dimensi, sekali gus menjadikan objek bersaiz kecil ini tampak lebih realistik.

Antara yang biasa dihasilkan miniatur yang menggambarkan ruang-ruang tertentu di dalam rumah. Misalnya, bilik mandi yang lengkap dengan tub mandi, bingkai gambar, langsir dan sebagainya, yang kesemuanya perlu dihasilkan pada saiz kecil tetapi perlu menyerupai saiz sebenar.

Dia juga perlu ‘bermain’ dengan warna untuk ‘menghidupkan’ lagi hasil seni tangan tersebut.

“Ironinya saya seorang yang rabun warna. Walaupun tahap rabun warna saya tidak begitu teruk, tetap memerlukan bantuan kakak terutama apabila melibatkan penggunaan warna-warna gelap kecuali hitam,” kata pemegang diploma dalam bidang reka bentuk produk itu.

Mengenai tempoh masa yang diambil untuk menyiapkan satu-satu rekaan, Harry berkata, bergantung kepada rekaan yang hendak dihasilkan.

Setakat ini paling cepat dia boleh menyiapkan dalam tempoh seminggu, namun untuk rekaan yang rumit, ia akan mengambil masa sehingga sebulan.

Mengakui masih banyak lagi yang perlu dipelajari untuk menghasilkan miniatur yang lebih unik dan menarik, Harry tidak menafikan sehingga hari ini masih belum mahir menghasilkan patung manusia.

Untuk melihat miniatur hasil tangan Harry boleh layari media sosial Instagram @typodiisigno.