Tugas menjaring ikan akan dimulakan sebaik sahaja giliran masing-masing tiba.

Terdapat kira-kira 20 hingga 30 orang nelayan yang berpangkalan di jeti kecil di Kampung Pedah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Jerantut, Pahang bersedia untuk meraih rezeki dari Sungai Pahang.

Mereka bertukar-tukar giliran turun ke sungai untuk menjaring ikan sungai yang menjadi mata pencarian mereka sejak berpuluh tahun lalu.

Sistem giliran yang digunakan menjadikan jeti di kampung itu tidak sunyi daripada deruan enjin bot nelayan kerana hampir 24 jam, pasti ada sahaja nelayan yang akan turun ke sungai untuk menangkap ikan.

Setiap 45 minit hingga satu jam, ada sahaja nelayan silih berganti mengambil giliran untuk menghanyutkan jaring.

Untung nasib, ada yang mendapat ikan air tawar yang mendapat permintaan tinggi seperti ikan temalian, patin buah, tenggalan, kenerak, krai, ketutu, baung dan tapah.

Jika nasib kurang menyebelahi, ada jaring yang tidak mengena langsung.

“Dalam setahun, akan ada satu atau dua bulan sahaja musim ikan terlampau banyak. Ketika itu, rezeki mencurah-curah bagi nelayan sungai seperti kami.

“Sampai ada yang dua tiga hari tidak pulang ke rumah kerana sibuk menjaring,” kata Zainuddin Husain yang ditemui S2 baru-baru ini.

Itu katanya belum dikira musim ketika banjir, waktu surut banjir dan tengkujuh.

Zainuddin, 56, sudah menjadi nelayan di Sungai Pahang sejak 30 tahun lalu.

Beliau berkata, jika pada musim kemarau, hasil tangkapan berkurangan tetapi rezeki nelayan tidak pernah sempit di sungai itu.

Katanya, menjadi nelayan sungai dan laut tidak banyak beza, cuma keadaan air sahaja yang memberi kelainan.

Menurut Zainuddin, bagi kawasan Kampung Pedah, kelompok nelayan di situ hanya boleh menjaring atau menggunakan beberapa lagi cara lain untuk menangkap ikan di sekitar kawasan kampung itu sahaja.

“Ini kerana, terdapat nelayan sungai di kampung lain akan menangkap ikan di kawasan mereka. Bukan bermakna kami boleh menangkap ikan di sepanjang Sungai Pahang yang luas dan panjang itu.

“Tetapi kaedah ini digunakan bagi menghormati nelayan di kampung lain yang menjadikan Sungai Pahang sebagai punca rezeki mereka,” katanya.

Katanya, kebanyakan nelayan di Kampung Pedah akan menggunakan jaring yang ‘dihanyutkan’ atau ditahan di dalam Sungai Pahang menggunakan beberapa batang kayu setinggi tiga atau empat meter sebagai pancang.

Kebiasaannya, jaring selebar beberapa meter yang digunakan nelayan sungai ini mempunyai jangka hayat sehingga setahun, bergantung kepada keadaan.

“Sekiranya rosak, ia perlu diperbaiki. Selepas setahun dua, jaring perlu ditukar. Biasanya memakan kos sehingga RM2,000 untuk mengupah orang membuat yang baharu,” katanya.