Kertas hias dinding sentiasa memainkan peranan besar dalam meningkatkan reka bentuk dalaman tidak kira ruang dan sehingga sekarang masih relevan di sebalik evolusi trend rekaan dalaman semasa.

Dengan pelbagai pilihan yang tersedia hari ini, pilihan kertas hias dinding dan cara ia digunakan mempengaruhi tema hiasan keseluruhan dan secara meluas.

Namun, penggunaan kertas hias dinding secara menyeluruh boleh menyebabkan rumah kelihatan serabut atau membosankan.

Berikut merupakan tip dan cara lain bagi menggunakan kertas hias dinding bagi memberikan kelainan kepada penggunaannya.

1. Tetapkan gaya

Sementara warna dinding sering digunakan untuk menaikkan sesuatu mood, rekaan kertas hias dinding pula mampu memberikan lebih daripada itu. Secara visual, ia memberikan hala kepada stail atau gaya tertentu. Cetakan corak damask amat sesuai untuk bilik tidur tradisional sama seperti corak sarang lebah yang sesuai dipasang pada ruang makan kontemporari manakala bagi ruang tamu pula gaya global sangat bersesuian dengan cetakan ikat.

2. Menambah drama

Tanpa perlu melabur dalam lukisan atau lampu mahal, kertas hias dinding adalah cara terbaik untuk menyerlahkan reka bentuk bilik dengan meniupkan sedikit elemen dramatik yang ‘wow!’. Sama ada corak marmar dengan percikan emas berkilauan atau motif hutan yang unik, kertas hias dinding benar-benar dapat membangkitkan suasana sesuatu ruang melalui warna dan seni.

3. Menghias pintu secara kreatif

Jangan abaikan pintu dengan permukaan yang berpotensi untuk menjadi menarik, dengan menggunakan kertas hias dinding. Lahirkan kreativiti anda dengan menggunakan kertas hias dinding pada panel pintu untuk gaya yang berbeza. Begitu juga pintu gelangsar almari yang ketinggalan zaman, balutnya dengan kertas hias dinding sebagai ubahsuai alternatif moden.

4. Menerap unsur alam semula jadi

Menambah unsur alam tidak terbatas dengan hanya meletakkan pokok daun ara yang indah di sudut. Cetakan bunga boleh membangkitkan taman musim bunga yang berwarna-warni di ruang tamu sementara corak paku-pakis menghijau memberi suasana rumah yang tenang.

5. Menjadi dinding utama

Dinding utama memainkan peranan dalam meningkatkan reka bentuk bilik. Tambah lapisan kertas hias dinding dengan warna dan corak berbeza bagi memberi kelainan. Mungkin boleh diletakkan pada sisi dinding dengan bentuk lain dari lain seperti kawasan cerobong. Lebih menarik, lapiskan kertas hias dinding yang bertekstur di atas rekaan lain.

6. Menjadi karya seni

Kertas hias dinding itu sendiri boleh bertindak sebagai karya seni. Sama ada meliputi seluruh dinding atau bingkaikannya, ini adalah cara untuk memberi kelainan bagi sesuatu ruang dengan hiasan menarik. Sesuaikan dinding anda dengan warna atau corak hias dinding dengan gambar yang diletakkan di dalam bingkai.