Sebelum ini saya hanya mempunyai enam rekod, semuanya dilakukan di dalam negara, sempena kemerdekaan yang ke-60 tahun ini, dengan semangat NegaraKu Malaysia, saya akan melakukan pendakian enam puncak atas 5,000 meter di Banjaran Himalaya dalam tempoh sebulan.

Enam puncak yang didaki iaitu Pokalde (5806m), Kongma La Pass (5500m), Khalapattar (5550m), Everest Base Camp(5364m), Chola-La Pass (5420m) dan Gokyo RI (5357m).

Segala persiapan dilakukan dengan penuh berhati-hati setibanya saya di Kathmandu pada Ahad lepas bersama agensi pendakian iaitu Seven Star Adventure Holidays dan sherpa yang membantu saya sepanjang pendakian.

Selepas perbincangan dilakukan bersama agensi dan sherpa ekoran cuaca di sesetengah kawasan pergunungan itu agak kurang baik menyebabkan pendakian menuju ke puncak Pokalde (5806m), Kongma La Pass (5500m), Khalapattar (5550m), Everest Base Camp (5364m), Chola-La Pass (5420m) dan Gokyo RI (5357m) disusun semula. Sebelum berlepas ke Lukla, saya sempat berjumpa dengan 12 pendaki Malaysia yang melakukan ekspedisi Everest Base Camp dan sempat beramah mesra dan memberi kata-kata semangat.

Sementara itu, ketika makan malam sehari sebelum itu, saya juga terserempak dengan 60 peserta ekspedisi Road to Annapurna anjuran Kelab Media Pahang dan Bomba dan Penyelamat.

Saya dan Dewa (Sherpa) berlepas dari Lapangan Terbang Kathmandu pada Rabu dan mendarat di Lapangan Terbang Lukla pukul 7.40 pagi. Selepas sarapan pagi, saya terus mendaki ke Pakding setinggi 260 meter. Selepas tiga jam, saya dan sherpa tiba bersama 16 pendaki Rusia dan 12 pendaki Jepun menuju ke Everest Base Camp yang ketika itu menginap di lodge yang sama.

Pada sebelah petang, sebaik-baik selesai makan tengahari, saya dan sherpa membuat penyesuaian diri dengan kawasan sekitar.

Keadaan kawasan itu tidak terlalu sejuk pada waktu malam, namun begitu saya mengenakan pakaian yang sesuai terutama ketika waktu tidur.

Keesokkan harinya, saya dan sherpa mula bergerak meninggalkan Phakding pukul 8 pagi menuju ke paras yang lebih tinggi iaitu ke pekan Namche Bazaar.

Saya mengambil masa sehingga melebihi 6 jam treking melalui beberapa jambatan gantung serta pendakian yang menegak terutama sebelum sampai di pekan Namche Bazaar pada pukul 3 petang.

Saya terpaksa memperlahankan pendakian kerana terlalu penat menyebabkan agak lewat sedikit sampai di penginapan. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat demi NegaraKu Malaysia.

Hari Jumaat lalu saya membuat penyesuan diri di sekitar kawasan Namche Bazaar dan akan bergerak ke renboche pada Sabtu dan di jangka ke puncak pertama iaitu Kongma-La Pass pada 4 Mei ini.