Suasana kafe santai dan selesa ini memenuhi cita rasa dengan menyediakan lebih 30 menu sajian berkonsepkan sajian Melayu dan Barat termasuk sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan pencuci mulut.

Kafe berskala sederhana ini juga ideal dijadikan lokasi rasmi dan keraian selain mencipta momen indah tatkala menjamu selera. Masakan tidak, anda pasti teringat masakan kampung termasuk daging salai, asam pedas dan ikan patin yang dimakan bersama daging rendang, mi goreng dan lontong.

Melangkah masuk ke Serasi, aroma pelbagai jenis kuih Melayu dan Barat memenuhi segenap ruang kafe bagaikan terapi sebelum anda memulakan menu berat. Mengutamakan keselesaan pelanggan yang mahu mereka berasa seperti di rumah sendiri, kebanyakan menu di dini merupakan hasil air tangan Nisa yang juga isteri kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara.

Justeru, kebanyakan menu tradisional menggunakan rempah yang dihasilkannya sendiri kerana dia mahu pelanggan merasakan keenakan makanan tersebut.

“Di sini juga menyediakan hidangan Barat seperti tuna sandwich, green pasta chicken, cajun salmon, lasagna ayam serta chicken cordon bleu.

“Hidangan disediakan bersesuaian dengan keselesaan, kebersihan, kualiti, cita rasa dan suasana yang mendamaikan,” katanya.

Berkongsi pemilihan dekorasi kafe, meja makan dan kerusi gaya moden berwarna hitam disusun pada ruang makan juga bersesuaian dengan penataan kontemporari yang diketengahkan.

“Saya memilih rekaan dapur L yang praktikal dengan kaunter dapur pada bahagian hadapan bagi memudahkan aliran kerja di kafe berkenaan.

“Konsep dapur sebegini bukan saja membantu kelancaran aktiviti di ruang ini malah membuat suasana lebih bersih dan kemas,” katanya.

Bersebelahan dinding jubin bata ruang utama kafe ini, terdapat rak peragaan kerana Nisa mahu memperkenalkan produk usahawan kecil dan sederhana tempatan termasuk produknya.

Berbekalkan minat terhadap dunia kulinari, Nisa juga mengeluarkan rempah beriyani dan ayam. Tambahnya, selain pelanggan boleh menjamu selera, mereka juga boleh membeli produk makanan disediakan oleh ibu tunggal dan keluarga miskin. Kafe ini menjadi platform untuk membantu golongan terbabit.

“Saya ingin membantu mereka mempromosi dan menjual produk makanan. Antaranya rempah kari, beriani, asam pedas dan jam roti, selain menjual buku resipi berjudul katanya.