Lebih istimewa, pengantin lelaki, Mohd. Fared Ramli, 29, mempersembahkan sendiri tarian warisan yang unik tersebut khusus untuk pengantin perempuan, Mimi Amira Che Mohamed Tajuddin, 23.

Selain Makyong, Mohd. Fared turut membuat persembahan Tarik Selampit, Tarian Asyik dan paluan gendang Tradisional Melayu Kelantan di hadapan isterinya.

"Kerjaya saya sebagai guru muzik, tarian dan persembahan Mak Yong di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan sejak 2005 memberi ilham untuk kami mengadakan majlis persandingan berkonsepkan adat Melayu Kelantan ini.

"Saya ingin memberi kelainan bagi memastikan hari bersejarah ini menjadi hari paling istimewa dalam hidup kami. Jadi saya membuat kejutan dengan mempersembahkan sendiri Makyong kepada isteri," kata Mohd. Fared.

Mohd. Fared yang berasal dari Kota Bharu dan Mimi Amira dari Pasir Mas selamat dinikahkan pada 23 Disember lalu. - UTUSAN ONLINE