Karya-karya Josef menjadi sajian jiwa manusia. Pertama, kesemua karyanya membekalkan unsur kecerian. Melihatnya boleh menjadikan seseorang itu ceria. Andai merenung dan berfikir, tidak dapat tidak, keceriaan boleh menjadi penawar penyakit sedia ada, dan kemudiannya menjadi pengisian untuk dijadikan aset serta bekalan kemana-mana.

Kedua, pemikiran, berupa ajakan dan falsafah. Josef menggambarkan banyak gambaran bot yang terapung di laut yang berombak. Tidak dinafikan, pelukis mengajak pemerhati berfikir. Antara lain, menyamakannya dengan manusia. Bersendirian bukan bermakna kemurungan. Bot dibuai ombak dan ditiup badai bukan bererti kesusahan atau terganggu tetapi pengajaran. Ilmu ada sebaliknya. Itulah kaedah Allah azawajalla mengajar hamba-Nya.

Gambaran ombak berkocak dan menuju ke pantai. Tidak sia-sia Josef menggambarkan gambaran itu. Mesejnya amat ketara, bekerja, berusaha selagi hidup. Usaha pasti membuahkan hasil. Hasil boleh mengubah kehidupan dan nasib. Ada persamaannya dengan pandangan Za’ba, pendeta Melayu dekad 1960-an yang memiliki ijazah Universiti Leiden, Belanda itu, iaitu: nasib ditentukan oleh sikap diri sendiri.

Josef turut menggambarkan bangunan di kota. Menerusi kaca mata pelukis Albania ini, kota tidak ditandai kesibukan, kelam-kabut, kesesakan dengan kenderaan dan binaan. Bagi Josef, kota indah dan bersih. Penghuni dan pelawat kota berhak menikmati suasana yang menyihatkan jasad, emosi dan akal.

Gambaran perempuan yang berkeadaan berpemikiran dan berperenungan menjadi pencetus ilham dan idea kepada pemerhati yang berakal. Lazimnya, bersandarkan kejadian, dikatakan perempuan tercipta daripada sembilan unsur perasaan atau nafsu, manakala satu sahaja akal, namun tidak bermakna di tepi atau di bawah tahapnya. Benar bahawa tiada nabi apatah lagi rasul perempuan, namun, wali perempuan masih ada. Dalam budaya dan sejarah Perancis, Joan of Arc, seorang daripadanya. Dalam sejarah Nasrani kuno dan Islam, jumlahnya lebih banyak.

Tenangnya watak perempuan yang terpilih bermakna Josef mengajak pemerhati menghormati. Apabila timbul sikap itu, wujudlah keharmonian dalam kehidupan. Iskandar Zulkarnain terkenal hingga kini kerana sikap menghormati perempuan. Sepatah kata Nabi Muhammad SAW, mereka ialah ibu, saudara, anak, cucu dan saudara kita.

Demikian jugalah watak-watak pemuzik yang digambarkan sedang mengalunkan lagu. Sekalipun lukisan tidaklah seumpama alat interaktif, namun kerana pemerhati berakal, juga ada ‘subconscious mind’, lagu tetap ‘hidup’.

Kesimpulannya, Josef membekalkan puluhan karya akrilik yang penuh unsur kecerian. Sekalipun seimbas pandang karya dicipta cepat siap kerana ada bukti akrilik memenuhi ruang menerusi sekali sapuan dengan alat lebar dan tipis, namun begitu, hasilnya, berkualiti tinggi. Tidak ragu lagi bahawa Josef mahir menguasai figura, garisan, warna, tona, tekstur (jalinan, tindanan garisan dan bentuk) dan komposisi. Lebih mulia lagi sikap pelukis ini kerana mesej, pemikiran dan falsafahnya bersifat intelektual universal.