Beberapa aktiviti yang melibatkan fotografi turut diatur bagi memeriahkan sambutan yang diadakan saban tahun itu. 

Kru Lensa Rencam turut mengadakan sesi wacana fotografi bersama murid dan pelajar selain mengadakan pameran fotografi hasil karya jurufoto Kumpulan Utusan.

Wacana yang berkisar tentang prospek fotografi sebagai salah satu bidang kerjaya telah diketengahkan dalam satu forum yang diadakan khas kepada golongan pelajar. 

Selain teknik konvensional, kemahiran fotografi digital dan peralatan terkini merangkumi sistem teknologi terbaru juga didedahkan kepada para pelajar terlibat.

Pengenalan asas penggunaan kamera, teknik sudut rakaman dan cara penghasilan rakaman yang tepat didedahkan secara terperinci agar mereka memahami konsep fotografi.

Penyelaras Lensa Rencam, Abdul Rahman Saleh hadir bersama jurufoto Kumpulan Utusan yang terdiri daripada  Noradzrene Mohd Nor,  Abdul Razak Latif, Shaifuddin Mohd Nor dan Farid Jainudin.

Keseluruhan peserta dari beberapa buah sekolah sekitar Johor Bahru yang menyertai program tersebut dilihat begitu teruja dengan pelbagai teknik fotografi yang dipersembahkan.

Ceramah berkaitan fotografi sukan, berita, dokumentari selain sesi penerangan berkaitan studio fotografi memberi kesan positif kepada pengunjung terutama melibatkan aspek teknik selain berkongsi suasana dan pengalaman sebenar tugas seorang jurufoto media.