Lereng Bukit Paya Gunung yang dikenali sebagai via ferrata menjadi tumpuan pendaki untuk menikmati pemandangan kawasan kampung, bandar Jerantut, Felda, gua bersejarah Kota Gelanggi dan Gunung Senyum.

Dalam bahasa Itali, via ferrata bermaksud ‘laluan besi’ melibatkan lereng bukit yang mempunyai anak tangga besi, rel dan kabel yang melekat pada permukaan batu serta menuruni cerun dengan tali.

Via ferrata Bukit Paya Gunung pada ketinggian 120 meter dari aras laut merupakan antara 300 puncak tanah tinggi di seluruh dunia yang menjadi tumpuan penggemar kegiatan ekstrem, manakala kedua tertinggi di negara ini selepas Gunung Kinabalu, Sabah.

Pengendalian kegiatan riadah di lokasi berkenaan adalah di bawah pengurusan Persatuan Belia Paya Gunung. Ahlinya mengusahakan kawasan pelancongan tersebut yang dikenali sebagai Taman Ekstrem Paya Gunung

Taman itu menyediakan kemudahan pemandu pelancong, eksplorasi di 15 buah gua, mendaki dua puncak melalui via ferrata, 25 laluan memanjat cerun dan perkhemahan.

Jurulatih Taman Ekstrem Paya Gunung, Wan Ruhaiza Wan Daud, 45, berkata, lokasi itu sentiasa menjadi tumpuan pengunjung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pendaki, khususnya pada sebelah petang serta cuti hujung minggu untuk beriadah.

“Kita mempunyai kemudahan peralatan mendaki dan menuruni cerun dengan tali. Pihak kami menitikberatkan keselamatan pengunjung yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar, belia dan penuntut institusi pengajian tinggi dari seluruh negara.

“Laluan via ferrata menjadi popular dan dikenali ramai sejak dua tahun lalu.Malah ia merupakan antara lokasi kursus kemahiran mendaki bagi membolehkan peserta diiktiraf pensijilan Persekutuan Mendaki Asia Tenggara (SEACF),” katanya di Kampung Paya Gunung kepada S2.

Dalam pada itu, pengusaha syarikat pelancongan SGi Merapoh, Mohd. Syukri Jali, 40, berkata, laluan via ferrata itu antara lokasi yang unik bagi kegiatan riadah untuk pengunjung yang menggemari aktiviti lasak.

“Kebiasaannya, pelancong luar dan pelawat domestik yang mengikuti pakej kami memilih gua batu kapur di Merapoh dan via ferrata Bukit Paya Gunung untuk mendaki dan bereksplorasi 
dalam gua berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Pahang, Idros Yahya berkata, kegiatan lasak mendaki bukit boleh mengikis rasa takut bagi sesetengah pengunjung yang belum pernah melalui via ferrata berkenaan.

“Lokasi ini sinonim sebagai kawasan team building bagi kakitangan korporat atau pertubuhan belia untuk menyemai keyakinan diri serta medan ujian kecergasan fizikal dan mental.

“Dengan kerjasama persatuan pendaki dan pengusaha pelancongan negeri, kita akan menjadikan Taman Ekstrem Kampung Paya Gunung antara pusat kegiatan lasak bagi pengisian sepanjang Tahun Melawat Pahang 2018,” katanya.