Setiap tahun, ladang kelapa sawit itu menjadi tumpuan peminat sukan permotoran lasak apabila menjadi lokasi perlumbaan bertaraf dunia.

International Rally of Johor (IRJ) atau dahulunya dikenali sebagai Malaysian Rally merupakan satu acara tahunan dalam takwim pelancongan negeri ini yang diadakan di ladang ber­kenaan.

Penjenamaan semula nama kejohanan itu yang dibuat pada tahun sebelum ini dengan meletakkan nama Johor bertujuan mempromosikan negeri ini secara lebih berkesan.

IRJ 2018 merupakan anjuran kerajaan negeri menerus ­Tourism Johor dan Wheel Sport Ma­nagement Sdn. Bhd.

Lebih membanggakan, Johor sekali lagi diberi kepercayaan dan penghormatan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada tahun ini untuk menjadi salah satu lokasi bagi kejohanan Asia Pacific Rally Cham­pionship (APRC).

Bukan sahaja menjadi medan perlumbaan bagi pelumba tempatan, malah IRJ dan APRC tanpa gagal turut mendapat penyertaan daripada pelumba luar negara.

Seramai 34 pelumba dari Jepun, Indonesia, India, New Zealand dan Malaysia menyertai IRJ dan APRC 2018 yang berlangsung dari 20 hingga 22 Julai lalu.

Perlumbaan keseluruhannya sejauh 563 kilometer pastinya mencabar adrenalin pelumba apatah lagi dengan keadaan iklim negara ini yang panas sepanjang tahun.

Bagi pelumba, faktor cuaca dan keadaan litar yang sempurna amat dititikberatkan sepanjang perlumbaan dan ciri-ciri tersebut ada pada Ladang Tai Tak.

Sepanjang perlumbaan itu, cuaca mendung dengan permukaan tanah yang sedikit lembab memberikan cengkaman terbaik dan tiada debu untuk menutupi pemandangan pemandu.

Menariknya, pada IRJ kali ini, peminat yang hadir ke ladang berkenaan dapat menyaksikan sendiri perlumbaan yang melibatkan gandingan anak-beranak dan adik-beradik.

Antaranya gandingan pemandu Gina Finanza Daud dan anaknya, Izyan Zuhaily Zolkeple yang bertindak sebagai pemandu arah daripada pasukan One Mo­torsports Bagan Datuk Rally Team (BDRT).

Selain mereka, gandingan bapa dan anak, Mohd. Rafiq dan Mohd. Tarmimi Lee daripada MRU Motorsport serta adik beradik, Jusri Rusli dan adiknya, Saman Rusli turut mencuri tumpuan.

Majlis perasmian dan flag off disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­­nita dan Pelancongan ne­geri, Liow Cai Tung di Padang D, Angsana Johor Bahru Mall di sini pada hari pertama perlumbaan.

Yang hadir sama ialah Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail; Pengerusi IRJ, Datin Raja Nor Mazli Tun Raja Mohar dan Pengarah Wheel Sport Management Sdn. Bhd., Datuk Tengku Shaharin Abu Bakar Tengku Sulaiman.

Sementara itu, majlis penutup dan penyampaian hadiah diadakan di Hotel Holiday Villa di sini, pada hari terakhir.