Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex Edward menyerahkan sijil pengiktirafan itu kepada Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, Datin Seri Anggaraini Sentiyaki selaku penganjur acara kayuhan wanita terbesar itu.

Acara yang julung kali diadakan anjuran Badan Amal Kasih Ibu turut disertai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebu­dayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan artis tanah air.

Mereka termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Janna Nick, Maznah Zolkifli, Serina Redzuawan, Umie Aida, Fauziah Latiff, Ezlynn, Lisdawati dan Zahida Rafik.

Menurut Mohamad Alex, ca­tatan rekod konvoi berbasikal wanita itu hampir menyamai rekod acara berbasikal yang pernah dicatat sebelum ini iaitu seramai 16,000 peserta lelaki dan wanita.

“MBOR pada awalnya meletakkan jumlah peserta seramai 3,000 orang sebagai syarat untuk memperbaharui rekod bagi acara ini, tetapi ternyata ia telah melepasi tiga kali ganda sasaran awal dan ini menakjubkan,” katanya di sini.

Dalam pada itu Mas Ermie­yati mencadangkan, Badan Amal Kasih Ibu menjadikan acara tersebut sebagai program tahunan dengan meluaskan kerjasama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan.

“Di samping itu, penyertaannya boleh diperluaskan ke pe­ringkat antarabangsa, sekali gus dapat merancakkan ekonomi negara dengan kedatangan pelancong asing,'' katanya.

Sementara itu Anggaraini ber­kata, pihaknya tidak menjangka jumlah penyertaan hari ini me­lebihi sasaran.