Namun apabila bertemu de­ngan rakan pengumpul lain serta sentiasa berhubung menerusi laman sosial Facebook dan Whats­app, dia mula menyedari pen­tingnya ilmu dan pengetahuan mendalam mengenai koleksi itu.

Menurut Saiful Izwan, 38, dia akhirnya menyedari yang hobi itu mampu menjana pendapatan dan mula menyertai pameran di seluruh negara bagi menjual koleksi miliknya serta bertukar-tukar barangan bersama rakan-rakan lain.

Katanya, dia kini tidak menoleh ke belakang lagi dan setiap ming­gu masanya dihabiskan de­ngan menyertai pameran di merata tempat bersama beberapa rakan.

“Memang dulu saya hanya simpan koleksi wang syiling lama serta duit kertas ini sebagai hobi, namun apabila dipertemukan dengan peminat dan pengumpul koleksi dari seluruh negara, pandangan saya berubah.

“Saya terfikir kenapa tidak saya jadikan hobi ini sebagai punca pendapatan biarpun modalnya agak besar untuk mendapatkan koleksi yang pelik-pelik dan jarang ditemukan,” katanya ketika ditemui dalam pameran wang syiling lama serta duit kertas di Megamall Pinang yang dianjurkan Malayan Banknote Fair, di sini baru-baru ini.

Saiful Izwan berkata, selain menjual wang lama, dia juga menjual aksesori dan album yang menjadi nilai tambah kepada koleksi semua pengumpul tegar.

Katanya, dia juga sentiasa me­rujuk kepada rakan-rakan pe­ngumpul yang lain serta buku rujukan khas setiap mata wang yang disimpan untuk menambah­kan lagi pengetahuannya.

Ditanya koleksi simpanannya yang paling bernilai, dia te­rus menunjukkan wang polimer RM50 Kenangan Sukan Komanwel 1998 yang bercantum tiga keping yang boleh dijual antara RM1,800 hingga RM2,000.

Selain itu, dia juga memiliki enam keping wang kertas RM5 yang memiliki nombor siri yang sama tetapi ditandatangani oleh dua Gabenor Bank Negara yang berlainan.

Sementara itu, seorang lagi pengumpul, Andrew Lim berkata, dia berminat untuk menyertai pameran itu kerana mampu menjana pendapatan selain bertemu dengan ramai peminat koleksi syiling lama di seluruh negara.

“Setiap minggu kami akan mengikuti pameran yang dianjurkan dan boleh bertukar-tukar maklumat mengenai koleksi wang lama ini selain bertukar-tukar ko­leksi yang ada.

“Antara koleksi yang unik dalam simpanan saya adalah wang kertas dari Korea Selatan yang bercantum 24 keping dan dinilai dengan gred ter­tentu di Amerika Syarikat,” katanya.

Penganjur pameran itu, Richard Lim berkata, peminat koleksi wang syiling dan wang kertas sentiasa menunggu kehadiran pihaknya di kawasan mereka kerana itulah saatnya mereka dapat melihat koleksi yang sukar ditemukan.

Katanya, selain wang syiling, pameran itu juga menyediakan koleksi setem dan sampul surat hari pertama yang turut memiliki peminatnya sendiri.

“Sekarang peminat koleksi ini bukan sahaja terdiri daripada golongan orang lama tetapi mula diminati oleh golongan muda yang mudah mendapatkan maklumat menerusi internet dan media sosial,” katanya.