Bagaimanapun anak kelahiran Kuala Pilah ini dikurniakan bakat istimewa apabila mampu mencipta beberapa rekaan pisau dan parang sendiri sejak tahun 2013.

Lebih istimewa, pisau dan parang rekaannya dikenali dengan nama unik iaitu ‘Iskandar', ‘Bi-duando’, ‘Semondo’ dan ‘Mami Jarum.’

Sejak itu, Mohamad Sanri dikenali ramai dengan rekaan pa­ling popular ialah pisau Iskandar yang turut mendapat tempahan peminat dari Jerman, Mesir dan Kanada.

“Saya hanya belajar sendiri tanpa menuntut ilmu di mana-mana institusi atau individu. Ini adalah anugerah daripada Allah untuk saya. Bakat ini dipupuk sejak kecil dan sehingga kini saya mampu menyara keluarga dengan hasil kerja tangan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Serting Ilir di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad Sanri, perkara paling penting dalam menyiapkan pisau atau parang adalah ketelitian dan kekemasannya, malah dia tidak pernah bertolak-ansur apabila melibatkan kualiti produknya.

Ujarnya, disebabkan itu dia ha­nya menerima tempahan sebanyak 10 bilah sahaja setiap bulan.

“Untuk menyiapkan hulu sahaja saya memerlukan tempoh masa dua hari,” katanya.

Bukan itu sahaja, setiap rekaannya mempunyai keunikan tersendiri dengan hanya terdapat empat hingga lima orang yang menghasilkan tembaga padu pada hulu pisau dan parang.

“Kadang-kadang ada juga pelanggan yang hanya me­minta saya membuat hulu dengan kayunya dihantar oleh mereka sendiri. Kebiasaanya, kayu saya peroleh dengan membelinya di Gua Musang dan Simpang Chini, Pahang. Jika ada yang inginkan besi moden, saya akan tempah khas dari Kuala Lumpur,” katanya yang mengenakan bayaran antara RM160 hingga RM1,600 bagi setiap bilah pisau atau parang.

Bapa kepada empat anak lelaki ini berhasrat membina sebuah bengkel untuk menambah lagi mesin bagi menampung permintaan yang meningkat.

“Buat masa ini saya hanya menggunakan ruang di belakang rumah yang disewa. Insya Allah jika ada rezeki saya akan membina bengkel di atas tanah sendiri di Kampung Temeris, Kuala Pilah" ujarnya.

Selain menghasilkan parang dan pisau, Mohamad Sanri juga pernah menyertai pertandingan Malaysian Blade Sport Challenge di Sabak Bernam, Selangor pada 2016.

“Ketika itu saya mempertaruhkan pisau Semondo buat pertama kalinya dan meraih tempat ke­dua. Saya juga pernah meraih tempat keenam dalam pertandi­ngan Asian Blade Sport 2017 di Putrajaya yang melibatkan peserta dari negara jiran antaranya Thailand dan Indonesia.

Mohamad Sanri berkata, pada masa ini dia memberi fokus kepada menghasilkan rekaan baharu dan sentiasa memberi sokongan kepada pengusaha pisau dan parang lain menyertai mana-mana pertandingan dengan menggunakan nama Tikey Blade.