Ketua Unit Setem dan Filateli, Diyana Lean Abdullah berkata, koleksi itu dikeluarkan sebagai tanda penghormatan dan kenangan Seri Paduka yang akan menduduki takhta selama lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong sejak melafaz sumpah pada 13 Disember tahun lalu.

“Koleksi setem ini amat istimewa kerana hanya dikeluarkan setiap lima tahun sahaja. Tambahan pula, keluaran cetak bagi setem ini adalah terhad, hanya 200,000 keping setem sahaja yang dicetak.

“Selain itu, terdapat ciri istimewa yang ditonjolkan iaitu cetakan emas di setem dan lembaran mini berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan koleksi filateli tersebut di Ibu Pejabat Pos Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Diyana, setem “Raja Sebagai Pemerintah Negara” yang memaparkan imej Yang di-Pertuan Agong itu boleh dimiliki pada harga 60 sen sekeping.

Manakala, lembaran mini yang memaparkan imej Yang di-Pertuan Agong dalam upacara melafaz sumpah di Istana Negara dijual pada harga RM5.30 sekeping dan fail pula boleh dimiliki pada harga RM6.35 setiap satu.

Kesemua koleksi ini akan dikeluarkan pada 25 April di semua negeri kecuali negeri Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan yang akan dikeluarkan pada 26 April ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pengumpul setem dan orang awam yang berminat untuk mendapatkan koleksi tersebut supaya hadir awal ke pejabat pos berdekatan.

“Tawaran adalah terhad, siapa yang datang dahulu dia akan dapat kerana tiada cetakan semula bagi koleksi ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE