Krabi memiliki pesona keindahan yang menakluk dan membuai perasaan. Itu gamitan rasa yang diselami 25 ahli Kelab Media Johor (KMJ) semasa melibur ke pulau tersebut Rabu lalu.

Petugas media cetak dan elektronik itu terbungkam rasa disapa ombak dan gelora pantai Krabi selepas mengharungi perjalanan dari Johor Bahru sejauh 1,518 ki­lometer (km) ke Krabi.

Mereka terlibat dalam program Kembara Media Zeromiles ke Satun dan Krabi, Thailand dengan menaiki bas membabitkan jarak perjalanan keseluruhan 3,036 km pergi dan balik.

Pelepasan disempurnakan Da­­tuk Bandar Johor Bahru, A. Rahim Nin di pekarangan Ibu pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Program terbaharu KMJ itu mengambil masa enam hari dari 30 Julai hingga 4 Ogos menjelajah lima wilayah di selatan Thailand.

Kembara bermula apabila di­bawa melawat ke beberapa tempat menarik di Danok selepas masuk melalui Kompleks Imigresen Sadao yang bersebelahan Kompleks Kastam Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Cabaran bermula apabila rombongan KMJ dibawa ke Gua Khao Kob di wilayah Trang. Menaiki sampan menyusur anak sungai dengan sampan bersama-sama dua pendayung dan enam penumpang sebelum masuk ke gua merupakan aktiviti yang menguji kesabaran dan keberanian.

Mendayung selama beberapa minit dalam sampan sebelum semua penumpang diarahkan untuk baring. Ini kerana sampan tersebut masuk ke dalam mulut gua sebelum melalui jalan yang sempit dan hanya boleh melepasi­nya dengan baring atas perahu.

Jarak antara wajah dan anggota badan dengan permukaan atas gua tidak sampai sejengkal. Keadaan sungguh mendebar dan mencemaskan kerana perlu menyusur laluan dalam gua itu sejauh lebih 1km untuk sampai ke dalam gua sebelum keluar de­ngan keadaan sama sejauh 3km.

Penulis tidak pernah terfikir alam semulajadi seperti itu boleh menjadi produk pelancongan. Aktiviti ke Gua Khao Kob adalah sesuatu yang unik dan tidak terdapat di tempat lain. Mujur semuanya selamat walaupun tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan!

Sementara pada hari ketiga, KMJ bertolak ke Krabi dan sampai pada sebelah malamnya.

Bersaksikan neon lampu dan gema muzik di kedai-kedai kecil dan pub di Krabi, kawasan persisir pantai itu hidup dengan aktivi­ti malamnya - jauh terpisah dari dunia luar.

Perasaan tenang dapat dirasai ketika mengadap laut sambil menghirup udara segar, ditemani deruan ombak. Pengunjung juga boleh menyewa motosikal untuk bersiar-siar sekitar Krabi.

Esok paginya kembara itu ke Pantai Nopparat sebelum menaiki bot ke Tanjung Putri, Pulau Ayam, Pulau Tub dan Pulau Poda untuk aktiviti island hoping, snorkeling selain mandi-manda.

Menurut pemandu pelancong KMJ, Krabi mempunyai populasi lebih 350,000 dan daripada jumlah tersebut, kira-kira 200,000 adalah masyarakat Islam. Sementara pelancong paling ramai mengunjungi Krabi adalah dari Eropah terutama Skandinavia.

Kehadiran mereka dapat dilihat hampir di mana-mana di Krabi. Difahamkan selain keindahan pantai mereka sukakan cuacanya yang kadang-kadang mencecah 39 darjah selsius ke atas!

Walaupun letih dengan pelbagai aktiviti di empat pulau di Krabi, KMJ bertolak ke Wang Sai Thong, di Satun keesokannya dengan jarak perjalanan hampir lima jam untuk berkayak.

Tidak pernah tergambar terdapat sungai yang jernih dan bersih, sejuk lagi menyegarkan di kawasan pedalaman Wang Sai Thong. Kawasan itu sesuai bagi sukan air dan rekreasi sungai.

Jiwa kental peserta diuji mental dan fizikal sejauh 8km berka­yak mengikut arus serta kadang-kadang menempuh jurang dengan air yang deras. Sesekali paras air cetek dan kea­daan itu menyebabkan kayak sukar dikemudi selain perlu memperlahankan pergerakan.

Selama beberapa hari di wilayah selatan Thailand, penulis melihat tandas-tandas di tempat pelancongan termasuk di tempat awam begitu memuaskan, jauh berbeza keadaan di negara ini.

Semasa di Krabi, kaunter-kaunter Tourism Thailand untuk pertanyaan berada di mana-mana untuk memudahkan pelancong bertanya atau berurusan. Industri pelancongan mereka amat dijaga dengan memberikan perkhidmatan terbaik.

Sewajarnya pihak terbabit membangunkan industri pelancongan di Johor dibawa melihat dan mencontohi sektor pelancongan di Thailand. Selain bidang pertanian, negara tersebut amat terkehadapan dalam bidang pelancongannya.

Ini kerana negeri ini mempunyai pelbagai aset dan kelebihan contohnya pulau-pulau di Mer­sing tetapi disebabkan biokrasi dan kekangan pihak tertentu, inisiatif kerajaan melalui Tourism Johor untuk membangunkannya terhalang.