Masa berlalu dengan pantas kerana tahun ini, KMJ 2017 merupakan edisi yang ke-20. Bermakna, program jelajah tahunan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu sudah menjelajah hampir ke semua pelusuk negeri.

Sebut sahaja daripada bandar besar hingga ke pekan kecil dan kawasan pedalaman serta pulau-pulau telah dikunjungi Sultan Ibrahim sejak baginda memu­lakan kembara tersebut semasa dilantik sebagai Tunku Mahhota Johor dahulu.

Nyata KMJ memang sudah sebati dalam jiwa baginda.

Namun KMJ 2017 agak berbeza kerana difahamkan bagin­da sudah membayangkan akan menyerahkan ‘teraju’ ke­pada anakanda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengetuainya pada tahun depan.

Walau bagaimanapun, ba­ginda tetap berjanji akan menyertai kembara tersebut di beberapa program yang diatur untuk terus berjumpa dan beramah mesra dengan rak­yat jelata.

Sebenarnya KMJ bukan ha­nya program yang memberi peluang kepada rakyat jelata berjumpa dan beramah mesra dengan Sultan Johor dan kerabat diraja, malah membawa rahmat bagi rak­yat khususnya golongan yang kurang berkemampuan apabila banyak pihak termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan pihak berkuasa tempatan turut memberi sumbangan kepada mereka.

KMJ kali ini turut menjadi cerminan bahawa konsep raja dan rakyat berpisah tiada apabila Sultan Ibrahim tetap mengharungi perjalanan sejauh 808 kilometer ke seluruh 10 daerah di negeri ini walaupu dalam keadaan hujan dan panas memandu kereta roda tiga jenis Morgan tanpa bumbung.

Walau basah ekoran hujan lebat, namun cabaran tersebut tidak mematah sema­ngat baginda untuk me­nemui rakyat jelata yang setiap menunggu ketibaan baginda dan rombongan.

Malah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui KMJ meninggalkan tiga mesej penting untuk dihayati dan dibanggakan oleh semua, iaitu sebagai satu identiti besar nege­ri yang menjadi kebanggaan rakyat.

Mesej kedua ialah KMJ merupakan satu cara bagaimana agenda pembangunan negeri sentiasa dilakukan secara bersama-sama, khususnya dengan mendapat sen­tuhan, ilham dan saranan daripada Sultan Ibrahim.

“Jadi, kita juga amat berha­rap yang edisi kali ini telah menjadi satu ruang dan peluang penting untuk Tuanku melihat dan mengamati sendiri segala bentuk kemajuan pem­bangunan yang telah dan sedang berlaku di seluruh negeri,” katanya dalam teks ucapan penutupan KMJ 2017 yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday.

Mesej terakhir, KMJ turut menjadi peringatan kepada seluruh rakyat betapa bertuahnya dinaungi Sultan Ibrahim yang berjiwa rakyat apabila baginda dan kerabat diraja berkenan mencemar duli menjenguk negeri setiap tahun, katanya sambil menzahirkan taat setia bahawa kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan padu terhadap program jelajah berkenaan supaya dapat dite­ruskan dengan lebih berjaya dan meriah.