Di negara ini pula, 1 daripada 4 (25 peratus) kematian di hospital kerajaan pada 2010 adalah disebabkan penyakit jantung.

Melihat kepada kebimbangan tersebut, Nestle Omega Plus bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) serta Allianz melancarkan kempen Cabaran 30 Hari Nestle Omega Plus sebagai galakan kepada rakyat Malaysia membuat perubahan gaya hidup demi kesihatan jantung mereka.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Susu, Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata, pihaknya mahu mendidik serta memberi motivasi kepada masyarakat di negara ini untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit jantung yang boleh menyerang sesiapa sahaja.

“Kami mahu memberi insentif kepada rakyat Malaysia supaya mereka sedar bahawa pentingnya mengawal paras kolesterol kerana ianya adalah antara punca utama kepada penyakit jantung.

“Berbekalkan kejayaan Cabaran 30 Hari Nestle Omega Plus sebelum ini, kami membuat keputusan untuk meneruskannya lagi pada tahun ini melalui sokongan IJN dan Allianz yang merupakan penyokong kesihatan jantung,” katanya dalam majlis pelancaran Cabaran 30 Hari Nestle Omega Plus di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Cabaran 30 Hari Nestle Omega Plus berlangsung sehingga 30 September ini di seluruh negara di mana kemenangan adalah berdasarkan peratusan tertinggi pengurangan paras kolesterol.

Peserta yang mencapai kadar pengurangan yang tertinggi akan diberi ganjaran setiap bulan dan pada penghujung cabaran tersebut, pemenang utama akan menerima hadiah berupa sebuah kereta serta perlindungan insurans hayat Allianz bernilai RM80,000 sebagai ganjaran kerana mampu membuat perubahan hidup demi jantung yang lebih sihat.

Untuk menyertai cabaran ini, anda boleh berkunjung ke pameran bergerak Nestle Omega Plus di pasar raya seluruh negara untuk menjalani pemeriksaan paras kolesterol serta layari laman sesawang http://myhealthyheart.com.my serta Facebook Nestle Omega Plus untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE