Penasihat Kesihatan dan Penjagaan Kaki, Dr. Bala Gopal
Penasihat Kesihatan dan Penjagaan Kaki, Dr. Bala Gopal

Baru-baru ini, sejenis kasut yang dilabelkan sebagai Bunion terdapat di gedung kasut Nottingheels yang dibuka secara rasminya pada minggu lepas di Dataran Pahlawan, Melaka.

Penasihat Kesihatan dan Penjagaan Kaki, Dr. Bala Gopal yang bertanggung jawab memberi bimbingan kepada pengasas Nottingheels, Amy Chiew tetang jenis-jenis kasut yang sesuai untuk dipakai berkata, kasut-kasut yang dijual di gedung Nottingheels boleh dipercayai kerana telah melalui ujian podiatris.

“Kesihatan kaki sering kali diabaikan. Golongan wanita sebenarnya harus berhati-hati dalam pemilihan kasut terutamanya kasut tumit tinggi kerana masalah yang lazimnya dihadapi oleh golongan hawa ini ialah masalah bunion.

“Mereka yang salah memilih kasut akan berhadapan dengan masalah bunion yang boleh menyebabkan seseorang wanita itu tidak mungkin lagi boleh memakai kasut tumit tinggi,” katanya kepada wartawan Utusan Online ketika ditemui pada majlis pembukaan secara rasmi Gedung Kasut Nottingheels di sini, baru-baru ini. 

Dr. Bala berkata, mana-mana kasut yang murah akan menyebabkan kesakitan pada kaki yang berpanjangan.

Oleh itu, mereka yang tahu untuk memberi nasihat adalah daripada sektor kesihatan dan di Nottingheels, khidmat nasihat ini boleh diperoleh.

Menurut Dr. Bala, kasut yang terbaik bagi wanita yang gemar memakai kasut tumit tinggi dan mereka yang menghidap diabetes adalah kasut jenis Bunion.

Ini kerana pelapik tapak di dalam kasut itu, jelas Dr. Bala, adalah lembut dan tidak menyakitkan kaki.

“Tekanan boleh menyebabkan kaki kita melecet tetapi dengan kasut Bunion, ia mempunyai pelapik tapak yang lembut apabila dipijak. Memang disyorkan kasut Bunion jenama Nottingheels kerana dijamin lembut dan selesa kepada kaki yang memakai,” kata Dr. Bala.

Tambah Dr. Bala lagi, keseimbangan dalam berjalan dengan memakai kasut yang sempurna harus menjadi keutamaan kerana apabila kita meletakkan tekanan pada kasut yang tidak sesuai dipakai, ia akan membuatkan rasa amat tidak selesa.

Oleh itu, sebagai penasihat kesihatan dan penjagaan kaki yang betul, Dr. Bala ingin berkongsi di sini bahawa dalam kalangan mereka yang menghidap kencing manis atau diabetes perlulah memberi lebih perhatian dalam memilih jenis kasut yang dipakai.

“Sekiranya kasut yang digunakan itu tidak sesuai maka ia akan menyebabkan kulit di tapak kaki melecet dan itu akan menyebabkan luka-luka secara terbuka dan ia boleh merebak menjadi lebih berbahaya,” katanya.

Pendedahan tentang kesihatan kaki harus bermula seawal mungkin. Pada pandangan Dr. Bala, seawal langkah pertama yang diambil oleh seorang kanak-kanak adalah saat yang terbaik untuk penjagaan kaki.

“Kanak-kanak yang mula langkah pertama, jangan pilih kasut yang boleh dilentur kerana ia tidak stabil dan menyebabkan kanak-kanak ini tidak stabil apabila berjalan,” kata Dr. Bala mengakhiri perbualan.

Kesihatan kaki, tegas Dr. Bala, jangan diambil mudah. - UTUSAN ONLINE