Jika dahulu, masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, kini, jangkitan protozoa pada usus manusia juga tidak harus dipandang ringan.

Malah bagi mereka yang sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih serius.

Perkataan protozoa berasal dari bahasa Yunani. Protos yang bermakna ‘pertama’ dan ‘zoa’ pula memberi makna sebagai ‘haiwan’. Oleh itu, protozoa adalah haiwan peringkat rendah yang mempunyai satu sel (unisel).

Ia bersifat mikroskopik dan mempunyai ukuran tubuh di antara 3 hingga 1,000 mikron. Habitat protozoa adalah di tempat yang berair dan basah.

Jika keadaan persekitaran tempat hidupnya tidak menguntungkan, protozoa akan membentuk membran tebal dan kuat yang disebut sista. Dalam keadaan seperti ini, protozoa dapat bertahan dengan lebih lama.

Menurut Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik di Institut Farmakogenomiks Integratif (iPromise), Universiti Teknologi Mara (UIiTM) Kampus Puncak Alam, Dr. Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri, perkara ini bukan sesuatu yang baharu dalam penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.

“Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti protozoa adalah lebih tinggi.

“Jangkitan protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan lemah (immuno compromised atau immuno suppressive) dapat dikenali melalui simptom cirit-birit yang berpanjangan, hilang selera makan serta penurunan berat badan.

“Protozoa usus daripada kumpulan koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta kumpulan microsporidia menjadi penyebab utama cirit-birit berpanjangan,” katanya.

Dr. Tengku Shahrul Anuar turut menjelaskan, secara amnya jangkitan protozoa usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas.

Justeru itu, kes-kes jangkitan protozoa ini jarang sekali dikesan di klinik kesihatan dan hospital. Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan protozoa usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus.

Ganggu tumbesaran kanak-kanak

Walaupun Malaysia merupakan negara yang sedang membangun, masalah jangkitan protozoa usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan.

Dr. Tengku Shahrul Anuar berkata, disebabkan protozoa ini menular melalui makanan dan air tercemar dengan najis manusia, taburan penyakit ini lebih banyak ditemui dalam kalangan penduduk yang tinggal di pedalaman, terutama yang tidak mempunyai sistem pembuangan najis yang baik serta bekalan air bersih seperti di perkampungan Orang Asli.

Jelasnya lagi, hasil kajian yang dilakukannya pada tahun 2013 yang diterbitkan oleh PLoS Neglected Tropical Diseases menunjukkan, jangkitan protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.

Terdapat beberapa mekanisme bagaimana protozoa usus boleh menyebabkan malnutrisi terhadap kanak-kanak malah golongan dewasa.

“Selain mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan mengalami cirit-birit yang kronik, muntah dan sakit pada bahagian abdomen.

“Kesan-kesan inilah yang akan menyebabkan pertumbuhan serta perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak terbantut.

“Dalam pada itu, kawalan dan pencegahan jangkitan protozoa usus mungkin memerlukan pendekatan yang baharu kerana kajian membuktikan sumber jangkitan protozoa seperti Giardia intestinalis bukan sahaja mampu disebarkan daripada manusia kepada manusia tetapi juga melalui anjing dan penjaga.

“Walaupun jangkitan protozoa usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan jarang diperkata umum, namun pencegahan harus dipertingkat daripada semasa ke semasa kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang,” ujarnya.