Masa begitu suntuk, jika dikira secara tepat hanya berbaki 64 hari sebelum bermulanya Sukan Olimpik London. Malah selepas rawatan, rehabilitasi juga akan memakan masa dan itu belum termasuk Chong Wei perlu kembali menjalani latihan.

Oleh itu pakar mencadangkan rawatan sel stem ke atas Chong Wei yang merangkumi tiga kali suntikan untuk menumbuhkan semula rawan yang rosak. Kaedah ini memasukkan sel sendiri ke dalam buku lalinya. Ia satu cara yang selamat dan tidak timbul kebimbangan mengenai kesesuaian kepada badannya.

Dalam konteks ini, pernahkah anda terfikir, masalah kemerosotan rawan di sendi lutut yang anda alami boleh pulih dengan teknik ‘menumbuhkan’ semula rawan yang rosak atau disembuhkan tanpa perlu menjalani pembedahan berulang kali?

Penemuan terbaru dalam merawat masalah kecederaan rawan memberi pilihan lebih baik kepada pesakit. Ia dimulakan dengan pengambilan sel stem daripada pesakit itu sendiri. Kemudian, kawasan rawan yang rosak ditebuk bagi menghasilkan pendarahan di kawasan tulang. Teknik itu menyebabkan darah beku terbentuk.

Seminggu kemudian, beberapa siri suntikan yang mengandungi sel stem dan asid bagi menstimulasi penumbuhan rawan dibuat. Setiap pesakit memerlukan lima kali suntikan dengan setiap suntikan mengandungi sejumlah 2.5 mililiter sel stem. Suntikan itu pula hanya dibuat di klinik pesakit luar.

Pada 2006, saintis British percaya mereka telah menemui bahan rahsia yang memberikan kuasa untuk membesarkan sebarang tisu di dalam badan. Sel stem dipercayai unik dalam kepelbagaiannya tetapi jentera biologikal membenarkannya membentuk segala-galanya daripada saraf kepada hati dan sel kulit.

Walaupun masih kurang difahami oleh saintis sendiri, penemuan itu membuka jalan kepada perubahan radikal dalam dunia perubatan. Kini, ia membolehkan penyelidik mengambil kulit atau sel lain daripada pesakit dan mengubahnya kepada sel stem. Dengan penyelidikan lanjut, ia boleh dibesarkan kepada tisu dan menggantikan sel organ yang rosak akibat penyakit atau kecederaan.

Menurut Pakar Pembedahan Ortopedik Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) KLSMC, Dr. Reza Ng Ching Soong, kecederaan rawan pada lutut memang perkara biasa. Rawan ialah tisu putih nipis dan lembut yang membalut hujung tulang sendi. Dengan sifatnya sebagai cecair pekat yang kenyal, ia bertindak sebagai mekanisma pelincir dan membantu kelancaran pergerakan sendi. Ia juga bertindak sebagai penyerap kejutan.

“Selain kecederaan teruk ketika bersukan, kemerosotan pada rawan boleh berlaku kerana faktor penuaan. Bagaimanapun, ada banyak faktor lain yang boleh menyebabkan kemerosotan rawan. Kemerosotan rawan di lutut selalunya dikaitkan dengan kecederaan pada lutut sama ada ligamen atau meniskus.

“Tidak terhad kepada golongan berusia, masalah kemerosotan rawan juga berlaku pada ahli sukan dan suri rumah. Selalunya keadaan ini sangat sukar dirawat dan hasilnya juga tidak memuaskan. Ini kerana rawan berada pada struktur yang tiada bekalan darah (avascular). Oleh itu, proses penyembuhan secara spontan memang sangat mustahil,” tambah beliau.

Dengan rawatan sel stem, kaedah ini membantu mempercepatkan penyembuhan tulang rawan, ligamen, tendon serta kerosakan tisu. Ini kerana sel di dalam tubuh manusia bertindak sebagai satu sistem pemulihan kepada tubuh badan dan secara semula jadi. Kemudian, sel tersebut membolehkan penggantian sel lama dan sel yang rosak di dalam organ manusia.

Bagaimanapun, dalam keadaan biasa tisu yang telah rosak hanya digantikan dengan parut yang fungsi asal tisu tersebut telah berkurangan atau tidak mampu berfungsi seperti sediakala. Bagi tulang rawan yang tercedera, bahagian tersebut sukar untuk pulih seperti sediakala kerana tiada aliran darah seperti tisu lain.

Sebagai pakar bedah lutut dan bahu, Dr. Reza Ng menjelaskan jangka masa penyembuhan bahagian tubuh terutamanya lutut yang panjang amat mengganggu rutin harian seseorang pesakit.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin bersukan supaya mengamalkan beberapa langkah untuk mencegah dan mengurangkan risiko kecederaan lutut. Antaranya ialah melakukan aktiviti senaman secara berterusan untuk mengekalkan tahap kecergasan badan. Ini dapat memastikan otot anda lebih stabil dan anda kekal cergas.

“Pastikan anda melakukan aktiviti memanaskan badan lima hingga sepuluh minit sebelum melakukan senaman bagi memastikan pengaliran darah ke otot adalah mencukupi serta mengurangkan risiko berlakunya kecederaan. Anda disarankan melakukan regangan otot sebelum dan selepas aktiviti bersukan,” katanya.